ECC jadi platform aduan utama ketika PKP - Rosol

Kuala Lumpur: Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjadi platform aduan pengguna yang popular sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Timbalan Menteri, Datuk Rosol Wahid, berkata sepanjang tempoh PKP, ECC menerima 38,145 aduan pengguna merangkumi pelbagai masalah terutama kenaikan harga barang keperluan, harga dan bekalan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.

Katanya, berdasarkan jumlah aduan yang diterima, pengguna pada dasarnya gembira dan berpuas hati melaporkan kepada ECC kerana menganggap mempunyai tempat untuk mengadu masalah tanpa sekatan dan membolehkan luahan mereka didengar.

"Walaupun ada aduan yang diterima di luar bidang kuasa kementerian, kami tetap menerima aduan orang ramai sebelum dipanjangkan kepada jabatan atau kementerian berkaitan untuk tindakan.

"Kita sediakan khidmat ini melalui pelbagai saluran di seluruh negara. Walaupun bukan bidang kita, tapi kita terima (aduan) dan kemudian salurkan kepada pihak yang khusus dengan aduan berkenaan.

"Rakyat gembira kerana mereka ada platform untuk mengadu masalah," katanya ditemui selepas melawat Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sini, petang tadi.

Ketika lawatan itu, Rosol turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid. Hadir sama Pengarang Kumpulan BH, Saidon Idris; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit; Pengarah Kumpulan NST, Lokman Mansor dan Ketua Konvergen, Komersial & Multimedia NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Beliau juga mengambil peluang meraikan sambutan ulang tahun ke-63 Berita Harian, bulan ini.

Rosol (dua kiri) menghadiahkan kek sempena ulang tahun ke-63 Berita Harian bulan ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Rosol (dua kiri) menghadiahkan kek sempena ulang tahun ke-63 Berita Harian bulan ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Mengulas lanjut, Rosol berkata, aduan yang diterima daripada pengguna adalah berdasarkan isu semasa dan semua aduan diberi perhatian daripada pegawai bertugas dengan menyalurkannya kepada jabatan berkaitan.

"Setakat ini, aduan yang diterima mengikut isu. Kalau sebelum ini isu harga ayam, maka banyaklah aduan. Begitu juga dengan pelitup muka, bila ada masalah itu, ramai yang mengadu. Ia termasuk isu bil elektrik baru-baru ini.

Sementara itu katanya, kementerian percaya Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah Sementara) bagi mengurangkan impak penularan COVID-19 akan mengandungi klausa yang melindungi hak pengguna dan pembeli rumah di negara ini.

Namun katanya, jika wujud masalah antara pengguna dan pemaju, pengguna pada asasnya boleh membuat laporan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selain Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP).

"Kita percaya Akta COVID-19 akan ada peruntukan lindungi pengguna. Namun lazimnya, jika timbul masalah berkaitan urusan pembelian rumah, pengguna boleh merujuk dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Begitu juga isu yuran Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) yang dilaporkan naik 15 peratus, pengguna boleh mengadu kepada Kementerian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) atau jabatan yang bersesuaian," katanya.



Sumber : ECC jadi platform aduan utama ketika PKP - Rosol

Post a Comment

0 Comments