
LONDON: Musim 2019-20 akan berakhir dengan pesta bola sepak tiga minggu bagi menentukan juara Liga Juara-Juara dan Liga Europa.
Dan Manchester City, Manchester United dan Wolves mengambil bahagian dalam pesta berkenaan.
Selepas pandemik COVID-19 memendekkan kejohanan Eropah ketika peringkat kalah mati baru bermula, ia ditunda ke bulan depan.
Kejohanan domestik diberi keutamaan untuk dihabiskan dengan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) meminta ahli-ahli gabungannya menyempurnakan liga dan pertandingan masing-masing sebelum akhir bulan ini.
Penganjur turut mengubah format timbal balik kepada satu perlawanan di gelanggang berkecuali secara tertutup.
Liga Juara-Juara akan menuju ke Lisbon, Portugal untuk ditamatkan di Estadio da Luz dan Estadio Jose Alvalade.
Manakala Liga Europa dijadualkan berakhir di Jerman dengan stadium Cologne, Duisburg, Dusseldorf dan Gelsenkirchen menjadi gelanggang untuk baki kejohanan.
Saingan yang bakal menjadi kejohanan mini itu akan dimulakan dengan pertembungan kelompok 16 terakhir Liga Europa pada 5 dan 6 Ogos.
Enam perlawanan pertama daripada pusingan itu sudah dilangsungkan dan keputusan belum dibuat sama ada aksi timbal balik akan dilangsungkan di laman sendiri pasukan terbabit.
Kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara juga mengalami nasib sama di mana gelanggang untuk aksi timbal balik pada 7 dan 8 Ogos masih belum diputuskan.
Chelsea bertandang ke Bayern Munich, ketinggalan 3-0, dan Manchester City melayan kunjungan Real Madrid dengan kelebihan 2-1.
Pasukan yang sudah layak ke suku akhir adalah Atalanta, Paris Saint-Germain, Atletico Madrid dan RB Leipzig.
Di Liga Europa, Wolves terikat 1-1 dengan Olympiacos dan Manchester United mempunyai kelebihan 5-0 ke atas LASK, manakala pertembungan antara Roma dan Sevilla serta Inter Milan menentang Getafe hanya akan diadakan sekali. - AGENSI
Sumber : Jadi kejohanan mini tiga minggu
0 Comments