KAFA belum cadang cari presiden baharu

KUALA LUMPUR: Barisan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) belum mempunyai cadangan mencari presiden baharu selepas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah direhatkan dari jawatan itu, minggu lalu.

KAFA ketika ini dipimpin naib presidennya, Datuk Shaari Mat Hussin yang dilantik sebagai pemangku presiden dalam usaha persatuan itu menyelesaikan kemelut hutang lapuk berjumlah jutaan ringgit.

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata barisan kepimpinan yang ada ketika ini lebih mengutamakan usaha menyelesaikan kemelut yang dihadapi berbanding jawatan dalam persatuan itu.

"Sekarang kita letak Datuk Shaari sebagai pemangku dan sekiranya barisan pimpinan KAFA diketuai beliau berjaya selesaikan kemelut ini, kemungkinan besar dia kekal sebagai presiden sehingga pemilihan akan datang.

"Barisan kepimpinan KAFA sekarang ini tidak memikirkan soal jawatan, sebaliknya lebih menumpukan sepenuhnya terhadap usaha mencapai kejayaan kepada KAFA.

"Jadi hierarki jawatan tidak penting lagi bagi kami. Sebab kami fokus setiap orang ada fungsi dan sekarang EXCO yang ada akan bekerja tanpa mengenal hierarki jawatan, tapi tetap diketuai Datuk Shaari," katanya kepada BH Sukan.

Semalam, akhbar ini melaporkan bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa menyatakan beliau tidak berhasrat untuk kembali mengemudi persatuan itu.

Selain Wan Abdul Rahim, barisan EXCO KAFA menerusi mesyuarat pada 28 Jun lalu turut bersetuju merehatkan timbalan presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah, sekali gus Shaari diberi tanggungjawab sebagai pemangku presiden.



Sumber : KAFA belum cadang cari presiden baharu

Post a Comment

0 Comments