
MANJUNG: Seorang lelaki maut manakala dua parah termasuk isterinya dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 40 Jalan Beruas-Taiping, Beruas dekat Manjung, malam tadi.
Dalam kejadian pada 7.40 malam itu, mangsa, Hazman Abdul Hamid, 47, yang memandu Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa anggota badan.
Isterinya, 48 tahun, penumpang hadapan kereta, cedera di tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sapp, berkata kemalangan membabitkan Proton Wira yang dinaiki suami isteri terbabit dengan Proton Preve, dipandu lelaki berusia 23 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati Proton Wira berkenaan daripada Pantai Remis menghala ke Beruas manakala Proton Preve pula dari arah bertentangan.
"Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu Proton Wira dipercayai memasuki laluan bertentangan iaitu laluan sah Proton Preve.
"Akibat jarak yang terlalu dekat pemandu Proton Preve tidak sempat mengelak dan menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung di bahagian hadapan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya dan pemandu Proton Preve parah.
"Wanita terbabit cedera di tangan dan kaki manakala pemandu Proton Preve pula di kepala. Kedua-dua mereka dikejarkan ke Klinik Kesihatan Beruas sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan selanjutnya.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sumber : Lelaki maut, dua parah kemalangan dua kereta
0 Comments