
PHNOM PENH: Kementerian Kesihatan Kemboja mengumumkan larangan sementara merangkumi kesemua penerbangan dari Malaysia dan Indonesia bagi mengekang penularan COVID-19, berkuatkuasa 1 Ogos ini.
Dalam satu pengumuman semalam, kementerian itu menjelaskan tindakan terbabit terpaksa diambil selepas peningkatan semula angka jangkitan kes import sejak beberapa minggu kebelakangan, terutama dari dua negara berkenaan.
Dalam kalangan 108 penumpang yang diuji positif COVID-19 selepas tiba di Kemboja dari Malaysia dan Indonesia, 55 orang daripadanya didapati menggunakan khidmat Penerbangan Malaysia.
Pengumuman itu dibuat pada hari sama selepas Kemboja mengesahkan lapan lagi kes COVID-19 membabitkan penumpang dalam dua penerbangan berasingan dari Indonesia.
Setiausaha Kementerian Kesihatan merangkap jurucakap, Or Vandine, Kemboja merekodkan 23 kes import, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu meningkat kepada 225 kes.
"Daripada lapan kes positif, empat adalah warga Kemboja dan empat lagi warga Indonesia yang tiba di Phnom Penh pada 23 Julai lalu menerusi penerbangan berasingan.
"Baki 199 penumpang dalam dua penerbangan dikuarantin mandatori selama 14 hari di pelbagai pusat kuarantin di sekitar ibu kota Kemboja.
"Selain itu, 15 lagi kes baharu adalah dalam kalangan warga Kemboja yang pulang dari Russia dan Mesir pada 19 Julai lalu serta ada kaitan dengan Penerbangan Malaysia," katanya.
Menurut Vandine, dua ujian pertama mendapati mereka negatif COVID-19 tetapi ujian kedua mengesahkan mereka dijangkiti virus terbabit.
Katanya kesemua pesakit baharu dimasukkan ke pelbagai hospital yang dikhususkan untuk rawatan COVID-19.
Menurut Vandine lagi, setakat ini negara Asia Tenggara itu merekodkan jumlah keseluruhan 225 kes, dengan 143 pesakit pulih dan 82 orang masih dirawat di hospital. - AGENSI
Sumber : Kemboja larang semua penerbangan dari Malaysia, Indonesia akibat COVID-19
0 Comments