
AMPANG: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa mana-mana individu yang tidak lagi konsisten dalam perjuangan supaya meninggalkan parti itu.
Beliau juga reda dengan mana-mana ahli atau pemimpin yang bertindak mengkhianati dan memilih meninggalkan parti itu sebelum ini.
"Kita dalam perjuangan kena ingat, ada gelombang, pasang surut dan pengkhianatan. Tetapi yang akhir dan penentu dalam agenda perubahan ialah istiqamah kita iaitu konsisten dengan prinsip perjuangan. Bukan semata-mata tokoh.
"Pahit getir yang kita hadapi. Kita hadapi ujian di peringkat awal adalah kerana kita dah mula pegang tampuk kekuasaan. Bila diuji masa senang, ramai yang gagal.
"Bila susah, derita, dalam keadaan susah. Namun bila kita ada di tampuk kekuasaan, banyak kecuaian. Cara kita menilai hilang, tergelincir dari landasan. Sebaik tergelincir, kita bukan lagi dalam agenda keadilan. Sebab itu kalau orang nak keluar, silakan keluar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Penerangan PKR di sini, hari ini.
Anwar turut mengakui wujud ahli dan pemimpin parti yang menjauhkan diri dari aktiviti parti dan hanya menunggu masa sebelum mereka mengumumkan keluar, seperti yang berlaku dalam 'Langkah Sheraton'.
"Kerja kita bukan untuk menolak orang, tetapi kalau mereka terus memilih untuk agenda yang tergelincir, tentulah saya sendiri sebagai presiden mesti mendengar kepemimpinan dan akar umbi dan bertindak tegas mulai dari sekarang," katanya.
Sumber : Sila keluar jika tidak lagi konsisten - Anwar
0 Comments