KUALA LUMPUR: Langkah tegas Malaysia dalam menyokong perjuangan menuntut hak dan kebebasan Palestin diharapkan menjadi ikutan di seluruh dunia.
Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), berkata pendekatan itu penting bagi memastikan tekad untuk menentang sebarang bentuk penindasan yang dialami penduduk Palestin oleh mana-mana pihak berupaya ditangani sepenuhnya.
"PCOM ingin berterima kasih terhadap tindakan tegas Parlimen Malaysia menggesa penyingkiran Israel daripada keahlian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan membantah rancangan Israel menceroboh wilayah Palestin di Tebing Barat.
"Tindakan tegas ini mencerminkan prinsip mulia yang diperjuangkan Malaysia dan membuktikan penyatuan kukuh kepemimpinan dalam kalangan anggota ahli parlimen Malaysia, tanpa mengira perbezaan latar belakang parti politik , sama ada kerajaan atau pembangkang.
"Semuanya demi untuk terus mengangkat isu keadilan Palestis. Terima kasih kami kepada Malaysia kerana sentiasa tegas dalam menyokong dan menegakkan hak asasi manusia di seluruh dunia, selain mempromosikan keadilan serta keamanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Ledang dari Pakatan Harapan (PH), Syed Ibrahim Syed Noh, semalam membentangkan usul khas mengenai isu Palestin, selain menggesa kerajaan memeterai kerjasama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menggerakkan beberapa usaha.
Ia merangkumi desakan supaya Israel disingkirkan daripada menjadi ahli PBB selepas republik itu mendalangi pelbagai siri kekejaman, termasuk menceroboh untuk mendirikan penempatan haram di wilayah Palestin dekat Tebing Barat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun, yang menerima usul itu kemudian meminta ia dibahaskan pada sidang Kamar Khas Parlimen dan memperoleh persetujuan secara sebulat suara.
Susulan gerakan positif itu, PCOM mengiktiraf dan merakamkan penghargaan terhadap usaha Syed Ibrahim kerana mengemukakan usul sedemikian.
Sumber : Ketegasan Malaysia dalam isu Palestin harus dicontohi dunia
0 Comments