Korban wagyu RM30,000 bukan isu dalam Islam

KUALA LUMPUR: Ibadat korban dengan lembu wagyu tidak mendatangkan masalah dalam Islam, asalkan individu yang melaksanakannya memenuhi syarat seperti mampu dan tidak berhutang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata haiwan korban yang lebih besar lebih baik kerana lebih banyak daging boleh diagih.

Katanya, sepatutnya tidak timbul isu menunjuk-nunjuk kerana ibadat korban kerana Allah Taala dan secara tidak langsung, ramai fakir miskin boleh merasai daging lembu wagyu yang mungkin mereka tidak pernah memakannya.

"Bagi yang mampu tiada masalah biarpun harganya mahal, kerana dia berkemampuan dan tidak menyusahkan orang lain. Malah, nabi (Muhammad SAW) juga suka dalam hal ini kerana haiwan ini menepati syaratnya.

"Jadi kalau satu bahagian pun nilainya RM30,000, yang penting ia menepati syarat di dalam Islam," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Isnin lalu, sebuah portal berita melaporkan syarikat tempatan menawarkan pakej korban lembu wagyu sempena Aidilahda yang mencecah RM29,999 bagi satu bahagian.

Pakej berkenaan menerima kecaman pelbagai pihak terutama warga maya yang mempertikaikan tujuan sedekah dan persoalan mengapa tidak melakukan penyembelihan ternakan biasa yang boleh mengorbankan lebih banyak lembu.

Syarikat itu memaklumkan, penyembelihan lembu wagyu seberat 800 kilogram dari Jepun itu akan dilakukan pada hari raya pertama hingga ketiga Aidiladha di rumah sembelih halal di negara itu yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).



Sumber : Korban wagyu RM30,000 bukan isu dalam Islam

Post a Comment

0 Comments