
MELAKA: Seramai 805 pemandu teksi bersyukur selepas kerajaan negeri bersetuju menyediakan bantuan bayaran caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Yang Dipertua Gabungan Persatuan Kereta Sewa dan Teksi Melaka, Zulkiflie Baharom, berkata langkah berkenaan membolehkan pemandu teksi dilindungi jika berlaku kemalangan.
Katanya, caruman itu turut melayakkan pemandu teksi menerima faedah lain seperti perubatan, hilang upaya kekal dan pemulihan.
"Bantuan bayaran caruman tahunan sebanyak RM157.20 bagi setiap pemandu teksi diperuntukkan sejak tahun 2019 dan bagi tahun ini, ia dalam peringkat akhir untuk dicarum kepada PERKESO," katanya, hari ini.
Sementara itu Zulkiflie berkata, bilangan pemandu teksi berdaftar di negeri ini didapati menurun daripada 1,028 orang pada tahun lalu kepada 805 pemandu sehingga bulan lalu.
"Saya tidak pasti punca sebenar penurunan jumlah pemandu teksi namun situasi semasa termasuk penularan COVID-19 dipercayai antara faktor mereka kurang aktif.
"Pemandu teksi juga terpaksa berdepan saingan dengan perkhidmatan kereta e-hailing, bas dan sistem pengangkutan lain," katanya.
Katanya, walaupun hampir keseluruhan aktiviti ekonomi sudah dibuka termasuk pelancongan domestik, sambutan terhadap perkhidmatan teksi masih tidak menggalakkan.
"Jika sempadan negara kembali dibuka dan pelancongan antarabangsa aktif semula, saya fikir jumlah pemandu teksi meningkat kembali," katanya.
Zulkiflie turut mengharapkan kerajaan melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman sedia ada yang berakhir September ini sekurang-kurangnya sehingga Disember nanti.
Sumber : Pemandu teksi lega kerajaan Melaka bantu caruman PERKESO
0 Comments