KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka kehilangan 18 pingat emas pada Sukan SEA 2021 di Vietnam jika dibandingkan dengan pencapaian diraih pada edisi 2019 di Filipina berdasarkan 36 cadangan sukan yang disenaraikan tuan rumah.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata jika dibandingkan dengan pencapaian edisi 2017 di Kuala Lumpur pula, kontinjen negara akan kehilangan 41 emas.
"Ini jangkaan awal berasaskan cadangan sukan yang akan dipertandingkan Vietnam.
"Namun, Datuk Mohd Nazifuddin Najib (Setiausaha Agung MOM) sudah minta persatuan sukan kebangsaan menulis surat kepada kita bagi membolehkan kita bawa dalam mesyuarat (Persekutuan Sukan SEA pada 21 dan 22 Julai).
"Selepas itu, kita akan lihat reaksi kesemua 11 ahli gabungan. Sebab itu, kita mahu persatuan sukan kebangsaan menulis kepada kita... kita mahu ada justifikasi. Sekurang-kurangnya ada tiga atau empat negara yang ingin bertanding.
"Ini akan beri kelebihan untuk bawa sukan ini masuk dalam proses," kata Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM di Wisma MOM di sini, hari ini.
Antara sukan yang sudah menghantar surat kepada MOM adalah hoki dalam dewan, bola jaring, boling padang, skuasy, ragbi tujuh sebelah, pelayaran dan kriket.
Kesemua sukan itu tidak disenaraikan dalam 36 sukan yang dicadangkan tuan rumah, Vietnam baru-baru ini dan ada antaranya adalah prospek emas buat kontinjen Malaysia.
Pada temasya di Filipina, kontinjen negara meraih 55 emas manakala dua tahun sebelum sebagai tuan rumah, Malaysia yang muncul juara keseluruhan mengutip 145 emas.
Sumber : Malaysia bakal hilang 18 emas
0 Comments