Belanjawan 2021: Kecualikan cukai pada industri terjejas COVID-19

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang dijangka dibentangkan kerajaan pada 6 November depan, wajar mempertimbangkan untuk memberi pengecualian cukai kepada industri yang terjejas kesan penularan COVID-19.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pengecualian cukai untuk tempoh tertentu itu, penting bagi membantu memulih dan memperkasa sektor industri berkaitan selepas hampir lumpuh akibat penularan COVID-19 di seluruh dunia bermula akhir tahun lalu.

"Keutamaan Belanjawan 2021 adalah pada industri yang terjejas seperti pelancongan. Contohnya, setiap perbelanjaan bagi pelancongan dalam negara, boleh diberikan pengecualian cukai.

"Selain itu, kerajaan juga boleh mengecualikan cukai kepada hotel yang untung untuk tempoh lima tahun akan datang supaya mereka boleh kembali pulih.

"Industri seperti pelancongan penting kepada negara. Penduduk kita ada 32 juta orang, manakala jumlah pelancong asing yang datang ke negara kita untuk bercuti, berurusan perniagaan atau pendidikan, adalah sekitar 28 juta setahun.

"Apabila tiada pelancong luar seperti ketika ini, ia menjejaskan operasi hotel, industri pengangkutan, penjualan makanan dan sebagainya," katanya pada Bicara Eksklusif Sempena Majlis Pelancaran Utusan Malaysia dan Kosmo! menerusi siaran langsung di Facebook Utusan Online, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berpandangan kerajaan juga perlu memberi tumpuan untuk mengembangkan sektor e-dagang, yang menjadi sektor utama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac lalu.

"Kerajaan perlu pastikan e-dagang menjadi pemangkin pemulihan ekonomi. Ini termasuk kumpulan penghantar makanan dan barangan yang menjadi antara faktor ekonomi terus berjalan (ketika PKP)," katanya.

Pengarang Berita Utusan Malaysia, Mohd Radzi Mohd Zin (kanan) mengendalikan sesi tazkirah oleh pendakwah, Ustaz Mohd Elyas Ismail pada majlis pelancaran Utusan Malaysia dan Kosmo! di Balai Berita Jalan Riong, Bangsar. - Foto NSTP
Pengarang Berita Utusan Malaysia, Mohd Radzi Mohd Zin (kanan) mengendalikan sesi tazkirah oleh pendakwah, Ustaz Mohd Elyas Ismail pada majlis pelancaran Utusan Malaysia dan Kosmo! di Balai Berita Jalan Riong, Bangsar. - Foto NSTP

Dalam pada itu, Johari mengakui kerajaan berdepan tugas sukar untuk menyediakan jumlah peruntukan yang setara dengan belanjawan sebelum ini, kerana pendapatan negara menyusut mendadak, di samping beban hutang bertambah.

"Sewaktu BN kalah, hutang negara ketika itu berjumlah RM681 bilion. Dalam tempoh 22 bulan, jumlah hutang menjadi lebih RM800 bilion. Ini peningkatan yang tinggi dalam masa singkat.

"Apabila COVID-19 menular, kuasa kita sudah berkurang. Nak pinjam pun kita takut jadi seperti Greece. Pendapatan pula berkurang kerana syarikat kurang atau tidak untung dan pekerja tak bayar cukai kerana hilang pekerjaan, manakala pengangguran bertambah.

"Kerajaan perlu seimbangkan semua ini, termasuklah melaksanakan langkah tidak popular untuk selamatkan negara bagi jangka masa panjang," katanya.



Sumber : Belanjawan 2021: Kecualikan cukai pada industri terjejas COVID-19

Post a Comment

0 Comments