MELAKA: Kerajaan mengadakan rundingan dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), susulan dakwaan dua anak syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd menggunakan khidmat buruh paksa, sehingga menyekat produk keluaran syarikat itu dieksport ke negara berkenaan.
Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata rundingan itu sedang dilaksanakan pihaknya, selepas melihat tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBPAS) itu sebagai tidak wajar.
Katanya, syarikat bertaraf antarabangsa berkenaan pernah menyalurkan bantuan besar ketika dunia menangani pandemik COVID-19, baru-baru ini.
"Kita harap pentadbiran AS dapat memberikan keadilan kepada syarikat bertaraf antarabangsa ini yang sudah memberikan satu bantuan yang besar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sebab itu kerajaan melalui MITI sudah memberi kebenaran kepada syarikat pengeluar produk perkhidmatan perubatan dan peralatan perubatan ini beroperasi sepenuhnya ketika PKP," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke dua kilang di Batu Berendam Free Trade Zone di sini iaitu Dominant Opto Technologies Sdn Bhd dan Texas Instruments Electronics Sdn Bhd.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang juga Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan.
Baru-baru ini Top Glove mengeluarkan kenyataan bahawa CBPAS mengeluarkan arahan sekatan terhadap sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan dua anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd.
CBP, dalam laman web rasminya meletakkan dua anak syarikat Top Glove iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd dalam senarai perintah penahanan berkenaan.
Bagaimanapun, laman web CBP hanya menyenaraikan Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd tanpa menjelaskan secara terperinci bentuk tindakan yang diambil.
Selain itu, Mohamed Azmin berkata, pihaknya akan berbincang dan berusaha meyakinkan CBPAS supaya sarung tangan keluaran Top Glove dibenarkan meneruskan operasi, seterusnya dieksport ke pasaran di AS.
Katanya, Top Glove juga sedang berurusan dengan CBPAS bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu buruh paksa seperti didakwa, sehingga mengakibatkan syarikat antarabangsa itu diletakkan dalam senarai sekatan.
Beliau berkata, proses berkenaan adalah prosedur biasa, sebelum operasi pengeksportan ke pasaran Amerika itu dibenarkan semula.
Sementara itu, Mohamed Azmin mengadakan lawatan ke perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbabit dalam pembuatan keris dan makanan tradisional di Kampung Paya Tanjung, Umbai, di sini.
Lawatan itu bagi meninjau proses pembuatan produk desa itu, sempena lawatan seharinya ke Melaka.
Sumber : Top Glove berunding dengan pihak berkuasa AS isu sekatan eksport sarung tangan
0 Comments