Pos baharu tingkat kawalan sempadan di Sarawak

SEMATAN: Kawalan keselamatan di kawasan Empangan Hidroelektrik Baleh yang sedang dalam pembinaan akan dipertingkatkan dengan sebuah pos kawalan keselamatan dan imigresen akan diwujudkan di kawasan terbabit.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pegawainya akan membuat tinjauan ke lokasi di pedalaman Kapit itu dalam tempoh terdekat bagi meneliti lokasi sesuai menempatkan pos berkenaan.

Beliau berkata, pos kawalan itu perlu diwujudkan bagi memastikan peraturan keluar masuk ke negara ini dipatuhi berikutan lokasi empangan berkenaan yang berdekatan dengan sempadan Malaysia-Indonesia.

"Tinjauan itu nanti akan menentukan pos yang bagaimana perlu kita wujudkan, sama ada pos sementara atau pos tetap yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk memudahkan urusan keluar masuk rakyat dari negara jiran.

"Ini kerana kita jangka ramai yang akan keluar masuk untuk bekerja dalam projek pembinaan empangan berkenaan," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di Sub Taktikal (SUBTEK) Pasukan Gerakan Am (PGA) Telok Melano, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, pembinaan pos berkenaan antara yang dibincangkan dengan Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, pada kunjungan hormat beliau terhadap Ketua Menteri Sarawak itu, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin melawat Pos Sempadan (Subtek) yang menghubungkan antara Malaysia dengan Indonesia di Telok Melano kira-kira 140 kilometer dari Bandaraya Kuching hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin melawat Pos Sempadan (Subtek) yang menghubungkan antara Malaysia dengan Indonesia di Telok Melano kira-kira 140 kilometer dari Bandaraya Kuching hari ini. - Foto BERNAMA

Mengenai Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Telok Melano, Hamzah berkata, ia antara projek utama untuk meningkatkan kawalan sempadan yang akan dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Beliau berkata, CIQ yang akan dibina dengan kos kira-kira RM35 juta itu perlu kerana Telok Melano kini menjadi laluan baharu keluar masuk ke Sarawak dari negara jiran.

"Apabila lebuh raya Pan Borneo dibina, perjalanan dari sini (Telok Melano) ke Kuching hanya dalam masa dua jam dan sudah tentu ramai rakyat negara jiran memasuki Sarawak melalui lokasi ini.

"PGA akan ditempatkan bagi mengetatkan kawalan keselamatan serta Imigresen juga akan berada di CIQ itu dan jika ada keperluan kita akan menempatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 21 projek kementeriannya dengan peruntukan sebanyak RM700 juta dalam RMKe-11 sedang dilaksanakan di Sarawak.

"Ia membabitkan 11 projek prasarana polis, tiga projek Jabatan Imigresen, tiga projek untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dua projek Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta masing-masing satu projek untuk Jabatan Penjara dan Jabatan Pendaftaran Negara.

"Kesemua projek itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.



Sumber : Pos baharu tingkat kawalan sempadan di Sarawak

Post a Comment

0 Comments