
ALOR GAJAH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menggesa semua kerajaan negeri memastikan penyu dikekalkan sebagai khazanah laut negara berikutan ancaman kepupusan haiwan itu yang semakin membimbangkan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronalad Kiandee, berkata ancaman kepupusan penyu berpunca faktor semulajadi serta tangan manusia dan usaha mengekalkannya perlu membabitkan semua pihak bagi memastikan negara tidak kehilangan sumber haiwan maritim itu.
"Penyu antara spesies terancam dan menghadapi penurunan kadar populasi yang serius. Jadi sudah tiba masanya kita belajar dan cuba mendekati hidupan alam yang lain agar kita memahami setiap kejadian atas muka bumi ini dan lebih menghargai apa yang dianugerahkan Tuhan kepada kita," katanya.
Beliau berucap ketika melawat Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) di Padang Kemunting, Masjid Tanah dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi.
Selain melepaskan 140 anak penyu yang baru menetas dan tiga penyu dewasa ke laut, Kiandee turut menyampaikan bantuan bencana banjir kepada 11 penternak ikan air tawar dan watikah kepada 12 renjer penyu.
Kiandee berkata, pantai di negeri ini khususnya di Melaka barat terkenal sebagai kawasan pendaratan penyu karah dan ia seharusnya dikekalkan dengan usaha memulihara haiwan berkenaan yang dijalankan di PKPP.
Katanya, usaha berkenaan terpaksa berhadapan tuntutan pembangunan dan kemajuan, termasuk perairan negeri yang memerlukan tindakan secara bijaksana bagi memastikan penyu tidak pupus sama sekali.
Kajian Jabatan Perikanan negeri dan PKPP merekodkan 5,143 pendaratan penyu karah di negeri ini, terutama di pantai Melaka barat antara 2009 hingga 2019.
Daripada hanya 380 pendaratan pada 2009, ia meningkat dari semasa ke semasa dengan jumlah paling tinggi pada 2018 sebanyak 600 dan diikuti pada 2017 (573), 2011 (568) dan 2019 (548).
Sebanyak 611,812 telur penyu dicatatkan di pantai negeri ini sepanjang tempoh sama dengan jumlah tertinggi pada 2018 sebanyak 71,044 biji dan diikuti tahun lalu (66,695 biji).
Antara pantai yang menjadi tumpuan haiwan marin itu bertelur ialah Padang Kemunting, Pasir Gembur, Balik Batu, Kem Terendak, Tanjung Bidara, Teluk Belanga, Kuala Linggi, Meriam Patah, Tanjung Serai, Tanjung Dahan, Pengkalan Balak dan Pulau Upeh.
Sumber : Pulihara penyu sebagai khazanah laut negara
0 Comments