
KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memerlukan RM7.3 bilion untuk menyelesaikan masalah banjir dan bekalan air secara holistik di Kelantan.
Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata peruntukan berkenaan mampu menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu sehingga 40 tahun akan datang.
Beliau berkata, pihaknya akan memohon peruntukan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi membolehkan ia dimasukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Jumlah peruntukan itu membabitkan beberapa projek besar termasuk Projek Tebatan Banjir yang mempunyai tiga fasa iaitu di Tumpat, Rantau Panjang dan Pasir Mas.
"Selain itu, di Tunjung sudah diluluskan projek pembentungan bersepadu membabitkan peruntukan RM600 juta serta lain-lain projek untuk masalah banjir dan bekalan air.
"Ada sebahagian projek sudah berjalan seperti tebatan banjir bagi fasa satu yang dijadualkan siap pada Oktober nanti," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor dan Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Dr Zaini Ujang.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, masalah bekalan air negeri itu memerlukan penggantian paip bagi mengurangkan kehilangan air tidak terhasil.
Sementara itu, Ahmad berterima kasih kepada KASA yang prihatin dengan nasib Kelantan dengan membantu menyelesaikan masalah bekalan air dan banjir.
Sumber : RM7.3 bilion atasi masalah air, banjir di Kelantan
0 Comments