
TAPAH: Selepas genap 10 tahun, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) FELDA Trolak, Sungkai di sini sekali lagi bakal menjadi tuan rumah sambutan Hari Peneroka FELDA 2020 peringkat kebangsaan, Selasa ini.
Bertemakan 'Peneroka Perintis, Berani dan Suka Cabaran', sambutan bakal dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam kebiasaan baharu yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pengurus Besar FELDA Wilayah Trolak, Hasrul Nizam Hassan, berkata sambutan kali ini yang perlu mematuhi SOP PKPP, akan diadakan secara minimalis dengan hanya dihadiri 250 orang termasuk 110 peneroka dari 11 wilayah FELDA seluruh negara.
"Amanat Perdana Menteri akan disiarkan secara langsung bukan sahaja menerusi televisyen, tetapi 'live streaming' di semua wilayah FELDA supaya dapat diikuti oleh peneroka," katanya ketika ditemui BERNAMA, baru-baru ini.
Hasrul Nizam berkata, Perdana Menteri juga akan mengadakan sesi interaktif secara dalam talian bersama empat pejabat wilayah FELDA iaitu Terengganu; Segamat, Johor; Jengka, Pahang dan Alor Setar, Kedah dengan dihadiri maksimum 30 orang, bergantung kepada keluasan kawasan dewan agar SOP PKPP dapat dipatuhi.
Mengenai FELDA Wilayah Trolak, Hasrul Nizam berkata, ia mempunyai 21 tanah rancangan iaitu empat di Selangor dan 17 di Perak dengan keluasan keseluruhan 34,990 hektar membabitkan 7,847 peneroka.
Katanya, wilayah itu yang bermula dengan pembukaan tanah rancangan di Ijok, Selama, Perak pada 1960 dilengkapi banyak kemudahan disediakan kerajaan antaranya sekolah, klinik kesihatan, perpustakaan, pasar dan masjid untuk keselesaan peneroka serta generasi seterusnya.
"Selain itu, pihak FELDA sedang membangunkan dua projek perumahan generasi baharu FELDA di Gugusan Besaout, Sungkai dan di Lasah, Sungai Siput membabitkan 202 unit keseluruhannya," katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka FELDA Trolak Selatan, Mohd Hassan Baharin, 71, yang menyertai tanah rancangan itu sejak 1979 berkata, pihak FELDA sememangnya sentiasa memastikan peneroka dan keluarga mereka hidup dalam keadaan selesa.
"Terima kasih FELDA banyak membantu peserta dari mula. Ternyata kehidupan memang berbeza sebelum dan selepas memasuki FELDA," kata bapa kepada enam anak itu yang berasal dari Batu Kurau.
Ismail Hashim, 71, yang juga peneroka di FELDA Trolak Selatan, menyerahkan pengurusan ladang seluas kira-kira 4.04 hektar miliknya kepada pihak FELDA kerana ia memudahkannya termasuk aspek buruh.
"Dari mula masuk sejak 45 tahun lalu, saya serahkan kepada FELDA untuk uruskan. Menariknya, tiap-tiap bulan akan dapat bayaran hasil bersih, tidak perlu fikir upah buruh, baja dan sebagainya," katanya.
Generasi kedua FELDA, Nor Azizah Alias, 50, berkata sebagai anak sulung, beliau diberikan tanggungjawab oleh dua lagi adiknya untuk menguruskan ladang seluas 4.04 hektar selepas ibu bapa mereka meninggal dunia.
Mengakui bukan mudah sebagai wanita turun ke ladang kelapa sawit, ibu kepada empat orang anak itu berkata ia bukan alasan dan ladang peninggalan diuruskan itu tetap diuruskan dengan baik serta terus memperoleh hasil lumayan.
"Pihak FELDA sendiri banyak membantu dari segi nasihat. lebih-lebih lagi kepada kami sebagai generasi kedua peneroka," katanya. – BERNAMA
Sumber : Sambutan Hari Peneroka dalam kebiasaan baharu
0 Comments