
ALOR SETAR: Kerajaan dijangka berhadapan cabaran dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi golongan 20 peratus rakyat yang berada di bawah paras kemiskinan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata keadaan lebih sukar berikutan negara kini dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19 dan ramai orang memerlukan bantuan.
Jelasnya, program dan inisiatif di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dilihat mampu membantu kelompok B40 serta mengurangkan jurang antara kaum, lapisan masyarakat, daerah dan negeri.
"Pengumuman berkaitan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) menunjukkan ramai rakyat masih diklasifikasi sebagai golongan miskin dan ia menjadi cabaran kerajaan membantu mereka.
"Kita perlu memastikan kira-kira 20 peratus rakyat negara ini yang berada dalam golongan itu dapat dikeluarkan dari dari paras PGK," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan menerusi laporannya mengumumkan PGK keseluruhan nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah pada tahun 2019, berbanding RM980 pada 2009.
Terdahulu Mohd Redzuan menghadiri Sesi Libat Urus bersama wakil kerajaan, persatuan bukan kerajaan (NGO) dan koperasi anjuran bersama Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju).
Beliau berkata, kerajaan akan berusaha memastikan setiap pelaksanaan dan perbelanjaan di bawah program WKB 2030 dapat memberi impak serta manfaat langsung kepada golongan B40.
"Justeru, suatu unit baharu iaitu SEPADU ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan projek, program dan inisiatif WKB 2030 yang boleh meningkatkan taraf sosio ekonomi kumpulan B40," katanya.
Sumber : Usaha bantu B40 lebih mencabar
0 Comments