
PUTRAJAYA: Kerajaan sudah mengusir 21,241 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Ogos lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pengusiran itu turut dilaksanakan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara bulan Mac hingga Jun lalu.
Katanya antara individu yang diusir ialah warga Indonesia (9,276) diikuti Bangladesh (2,643), Myanmar (1,891), Thailand (1,715), India (1,412), China (1,343), 991 (Pakistan), 646 (Vietnam), 314 (Nepal), Kemboja (271) dan lain-lain (739).
"Setakat ini, seramai 15,957 PATI masih ditempatkan di depoh tahanan imigresen di seluruh negara.
"Pengusiran PATI ini dibuat mengikut prosedur ditetapkan termasuk memastikan negara asal bersedia menerima kepulangan rakyat mereka dan melengkapkan proses seperti dokumentasi," katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 dan Majlis Jasamu Dikenang, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di sini hari ini.
Hamzah berkata, pihaknya turut berdepan dengan kesukaran bagi melaksanakan proses pengusiran PATI khususnya sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
"Amat sukar untuk hantar mereka (PATI) pulang buat masa ini kerana negara asal mereka masih tidak bersedia disebabkan kebimbangan COVID-19.
"Mereka mungkin percaya rakyat mereka yang pulang itu akan membawa bersama jangkitan COVID-19 sedangkan Malaysia antara negara terbaik memerangi wabak itu.
"Setiap PATI yang diusir itu dibuat mengikut prosedur termasuk menjalani tempoh kuarantin dan perlu bebas jangkitan COVID-19 sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal," katanya.
Sumber : 21,241 PATI sudah diusir
0 Comments