KPN alu-alukan kerjasama banteras rokok seludup

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengalu-alukan bantuan dan kerjasama agensi penguatkuasaan berkaitan untuk melumpuhkan kegiatan pengedaran serta penjualan rokok seludup di seluruh negara.

Berikutan kekangan dengan lebih 50,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa dikerah dalam penugasan membanteras penularan COVID-19, katanya, usaha menghapuskan elemen rokok seludup harus dilaksanakan secara bersama.

Begitupun, beliau berkata, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman tetap giat melaksanakan operasi serta serbuan membanteras kegiatan penyeludupan rokok di laut dan darat.

"Malah, Jabatan KDNKA sudah mewujudkan sebuah pasukan khas yang menumpukan laluan utama di sepanjang pantai dan sempadan darat seluruh negara melalui penugasan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Udara PDRM serta Polis Marin.

"Justeru, apabila berlaku bolos sehingga rokok seludup sampai kepada kedai yang menjualnya, saya amat mengalu-alukan kerjasama daripada agensi berkaitan untuk menghapuskannya," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, selain PGA, Polis Marin dan Unit Udara PDRM, usaha membanteras penyeludupan serta pengedaran rokok seludup turut dilakukan oleh Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.



Sumber : KPN alu-alukan kerjasama banteras rokok seludup

Post a Comment

0 Comments