8 direman, 119 dikompaun ingkar arahan PKP

KUALA LUMPUR: Seramai 127 individu ditahan kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata lapan daripada mereka ditahan reman, manakala 119 individu dikenakan kompaun.

Ismail Sabri berkata, ia membabitkan kesalahan seperti aktiviti yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan pelaksanaan penjarakan fizikal.

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 64,656 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 3,353 Pasukan Pematuhan yang membabitkan 14,167 anggota memantau 4,110 pasar raya; 6,083 restoran; 1,325 penjaja; 1,114 kilang; 3,819 bank dan 797 pejabat kerajaan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, lokasi yang turut dipantau ialah 1,189 terminal pengangkutan darat; 218 terminal pengangkutan air dan 151 terminal pengangkutan udara.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng membabitkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) berjaya mengawal ketat semua sempadan negara secara bersepadu bagi mengelakkannya dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Langkah ini bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

"Semalam, polis membuat 63 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 31,707 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutama di lorong tikus dan menahan seorang individu atas kesalahan imigresen," katanya.

Ismail Sabri memberi amaran, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

"Semua agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.



Sumber : 8 direman, 119 dikompaun ingkar arahan PKP

Post a Comment

0 Comments