KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan meninggal dunia akibat pendarahan di kepala, semalam, selepas empat hari dirawat di hospital swasta apabila tidak sedarkan diri ketika berada di rumah pengasuh di Bandar Puchong Jaya, Serdang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata mangsa dikejarkan ke hospital selepas ibu bapanya dihubungi pengasuh berusia 40 tahun yang memaklumkan bayi itu tidak sedarkan diri kira-kira jam 12 tengah hari Selasa lalu.
Beliau berkata, pemeriksaan awal doktor mendapati mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala dan mengesyaki ada unsur penderaan.
"Siasatan lanjut mendapati mangsa disahkan kematian otak dan bergantung pada mesin bantuan pernafasan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.19 petang semalam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ismadi berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang pada jam 1.40 tengah hari tadi mendapati punca kematian ialah pendarahan di kepala mangsa kesan jatuh dari tempat tinggi.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa terjatuh dua kali, iaitu di rumah sendiri dan kediaman pengasuh, namun tiada unsur penderaan berlaku.
Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – BERNAMA
Sumber : Bayi meninggal dunia akibat pendarahan di kepala
0 Comments