TANAH MERAH: "Adik (anak bongsu) beritahu dia balik semata-mata sebab nak makan sate air tangan saya dan saya sempat penuhi permintaan terakhir arwah," kata ibu dua beradik yang maut dalam kemalangan di Kilometer 19 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Padang Tengku, Pahang, semalam.
Rahimah Yusoff, 75, berkata anaknya, Roziah Mohamed Yusof, 22 pulang ke kampung bersama abangnya, Mohamed Rozuan, 32, Khamis lalu dan bertolak semula ke Kuala Lumpur pada jam 2 petang semalam.
Katanya, mereka hanya pulang sekejap dan Roziah dari awal lagi memintanya membuat sate kerana mengidam air tangan ibunya.
"Anak-anak semuanya manja dengan saya, terutamanya arwah adik (Roziah), saya tak jangka akan kehilangan dua anak serentak.
"Sebaik menerima berita kemalangan yang menimpa mereka malam tadi, kami sekeluarga terus bergerak ke Pahang," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Jering, Jeli, di sini.
Jenazah kedua beradik itu selamat tiba dengan dua van jenazah Hospital Kuala Lipis pada jam 5.40 petang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Jering dalam satu liang.
Sementara itu, isteri Rozuan, Nor Hafida Abdul Rahman, 32, begitu sebak ketika mengiringi jenazah suami dan adik iparnya.
Rozuan meninggalkan isteri dan dua anak yang masih kecil, Nurul Rania, enam dan Nurul Raina, tiga tahun.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang semalam (Jumaat), Rozuan dan adiknya, Roziah maut bersama rakannya, Faizul Idzafi Azmi,34 apabila kereta Proton Wira yang mereka naiki bertembung dengan lori muatan kelapa sawit dari arah bertentangan.
Seorang lagi rakan mereka, Mohd Zulhelmi Mustafa, 25 dari Kampung Gong Tok Pek, Kampung Raja, Terengganu cedera parah di bahagian kepala dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lipis.
Sumber : Sate permintaan terakhir arwah anak
0 Comments