COVID-19: Lima taman awam di Sungai Petani ditutup

SUNGAI PETANI: Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) menutup lima taman awam sebagai langkah membendung penularan jangkitan COVID-19.

Yang Dipertuanya, Syed Khairol Anuar Syed Abidin, berkata semua taman awam berkenaan ditutup sepenuhnya bermula semalam sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

"Adalah dimaklumkan bahawa taman awam di bawah selenggaraan MPSPK ditutup sepenuhnya kepada pengunjung mulai 15 Ogos sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Taman awam terbabit adalah Taman Jubli Perak, Taman Awam Bandar Perdana, Ujana Perbandaran, Taman Rekreasi Tasik Darul Aman Perdana dan Taman Rekreasi Bukit Banyan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Khairol berkata, perintah kawalan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawasan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Katanya, pihak berkuasa akan mengambil tindakan kepada mereka masih mengunjungi kawasan terbabit sepanjang tempoh penutupan.

Dalam pengumuman Kementerian Kesihatan semalam, satu lagi kes disahkan positif COVID-19 dari Kluster Muda iaitu di Kuala Muda yang menjadikan jumlah kes positif kluster berkenaan sebanyak tiga kes setakat ini.



Sumber : COVID-19: Lima taman awam di Sungai Petani ditutup

Post a Comment

0 Comments