Siapkan strategi urus kesan bencana rentas sempadan

GLOBALISASI bukan sahaja berlaku dalam aspek sosiobudaya, ekonomi dan politik yang pengaruhnya lazim tersebar menerusi dinamik media massa, sama ada percetakan mahupun elektronik. Alam sekitar fizikal juga boleh 'diglobalisasikan' oleh medianya tersendiri, iaitu sirkulasi atmosfera (tiu- pan angin) dan sistem hidrologi (aliran air).

Debu daripada letusan gunung berapi sama seperti jerebu kebakaran hutan. Kedua-duanya mudah merebak secara horizontal di bumi, merentas laut, gunung dan dataran tanpa mengenal sempadan.

Cuma yang berbeza, debu gunung berapi datang seluruhnya daripada fenomena natural geologi. Sedangkan punca jerebu kebakaran boleh dimulakan sama ada oleh angkara manusia mahu pun bencana semula jadi.

Debu Sinabung dari gunung berapi di Indonesia yang terserak sehingga ke Semenanjung baru-baru ini adalah contoh klasik globalisasi pencemaran alam. Namun, isu ini bukan persoalan alam sekitar semata-mata. Sama seperti jerebu, ia turut dibauri elemen geopolitik kritikal, khususnya dari sudut pemantauan dan pengurusan.

Ini merangkumi dua aspek penting, iaitu perkongsian teknologi cerapan dan komunikasi data dalam kalangan negara yang terbabit. Apakah pula elemen geografi yang memungkinkan rentasan Indonesia-Malaysia ini berlaku? Ia berkait dengan aspek lokaliti dan sains klimatologi.

Gunung Sinabung terletak di utara Sumatera, kurang 50 kilometer secara longitud dari danau tersohor, Tasik Toba. Namun, yang lebih penting, secara latitud ke arah timur, kedudukan gunung berapi aktif ini hampir serenjang dengan Kuala Lumpur di seberang Selat Melaka.

Letusan gunung ini berlaku pada 10 Ogos lalu. Dalam kalendar kitaran iklim, tempoh ini jatuh pada monsun barat daya. Pada musim ini, gerakan angin skala besar di rantau Nusantara bertiup dari arah kepulauan Indonesia menuju Malaysia.

Apa yang menjana sirkulasi ini? Tekanan udara di Lautan Hindi dan benua Australia secara relatif lebih tinggi berbanding tanah besar Asia. Ini mewujudkan cerun tekanan lalu menggerakkan udara secara besar-besaran dari hemisfera selatan ke utara.

Sepatutnya gerakan ini mencipta monsun utara, tetapi daya korialis putaran bumi memesongkan angin berkenaan ke arah barat daya. Disebabkan sirkulasi atmosfera itu berciri barat daya, maka debu dari Sinabung diapung menuju lokasi di Semenanjung Malaysia terutama di wilayah utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis). Ibu negara, Kuala Lumpur, terselamat kerana kedudukannya yang sama paras latitud dengan Sinabung.

Justeru, dari segi hukum fizik, pergerakan udara berkenaan mempunyai kebarangkalian agak rendah untuk menerbangkan debu ke sana.

Secara hipotetikal, jika bumi statik tidak berputar pada paksi, maka tidak wujud daya korialis untuk memesongkan angin. Maksudnya, debu Sinabung itu akan terus dipuput menegak ke utara dari Sumatera, lalu disasarkan ke barat Thailand dan Myanmar.

Begitu juga, andai kata letusan berlaku pada monsun timur laut (antara Oktober hingga Februari), debu bencana geologi itu akan diterbangkan ke Lautan Hindi, menjauhi Semenanjung Malaysia. Malangnya, situasi ideal ini hanyalah satu fantasi. Hakikatnya, gunung berapi Sinabung meletus di atas bumi yang berputar dan berlaku tepat pada monsun barat daya.

Secara umum, terdapat 700 gunung berapi di dunia yang berada kurang 100 kilometer dari sempadan antarabangsa, manakala kira-kira 1,300 yang lain terletak dalam lingkungan 250 kilometer. Ini jarak yang begitu dekat. Lebih intim dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Maksudnya, jika gunung berapi ini meletus, potensi sebaran debu yang merentas sempadan berbilang negara sangat tinggi.

Ini adalah isu geopolitik kompleks dan mencabar, dari segi hal ehwal mengurus, memantau dan menangani impak bencana.

Alam Nusantara dilingkari jalur api Pasifik yang dicirikan kewujudan banyak titik gempa bumi dan gunung berapi. Walaupun majoriti kawasan sensitif ini berada di kepulauan Indonesia, jarak dekat menjadikan negara berhampiran (termasuk Malaysia) turut terdedah kepada risiko.

Justeru, debu pencemaran begitu mudah diserakkan angin monsun sehingga boleh melangkau ratusan kilometer.

Oleh sebab isu ini bersifat rentas sempadan, aspek geopolitik adalah kunci penting bagi pengurusan efektif. Kerjasama antara negara terbabit sangat mustahak dalam usaha memantau darjah risiko insiden dan merancang langkah mitigasi yang persis.

Perkongsian teknologi, data dan informasi amat perlu, bukan sahaja untuk mengoptimumkan penggunaan sumber, bahkan meningkatkan kecekapan tindakan.

Dalam kes Sinabung, magnitud dampak barangkali tidak begitu ketara. Jadi tuntutan untuk saling bersinergi erat dengan negara jiran belum mencapai tahap kritikal.

Namun, letusan Sinabung bukan peristiwa terpencil. Berdasarkan pola geografi dan landskap fizikal kepulau- an Melayu dan Indonesia yang saling terangkai, kita tidak boleh abaikan potensi untuk berlaku bencana geologi dan klimatologi dengan impak rentas sempadan lebih mengancam pada masa akan datang.

Justeru, strategi siap siaga adalah jalan terbaik dan ini perlu diolah menerusi integrasi kefahaman sains atmosfera dan simpang siur geopolitik Nusantara.

Penulis adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Sabah



Sumber : Siapkan strategi urus kesan bencana rentas sempadan

Post a Comment

0 Comments