COVID-19: Pegawai Kanan Polis Kuala Muda disahkan positif

SUNGAI PETANI: Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan seorang pegawai kanannya disahkan positif COVID-19.

Beliau berkata, pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan berkenaan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Katanya, ketika ini tiada kawasan di IPD terbabit ditutup, namun langkah sanitasi kawasan terutama membabitkan tempat pegawai berkenaan bertugas sudah disanitasi.

"Saya sahkan seorang pegawai saya positif COVID-19, tiada kawasan (di IPD) ditutup, lakukan sanitasi sahaja," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular menerusi aplikasi WhatsApp memaklum seorang pegawai polis di Sungai Petani disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian swab di sebuah hospital swasta di sini.

Pegawai polis terbabit dikatakan sudah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dikuarantin dan menerima rawatan lanjut.

Pengesanan kontak rapat dan sejarah lokasi dilawati sedang dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semalam KKM mengumumkan dua kes baharu dilaporkan di Kedah iaitu di daerah Kuala Muda dan Baling. Kedua-dua kes itu tidak berkait rapat antara satu sama lain.



Sumber : COVID-19: Pegawai Kanan Polis Kuala Muda disahkan positif

Post a Comment

0 Comments