Ganti hukuman mati: Laporan akan ke Kabinet

KUALA LUMPUR: Hasil Laporan Akhir Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk pertimbangan dan persetujuan dalam tempoh terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata laporan itu mengandungi syor hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 21 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

"Suatu Jawatankuasa Khas ditubuhkan pada tahun tahun lalu untuk melaksanakan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam tempoh empat bulan mulai 20 September 2019 hingga 31 Januari lalu dan selesai melaksanakan kajian berkaitan dasar penghukuman bagi menggantikan hukuman mandatori dengan hukuman yang lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

"Hasil dapatan kajian ini dijangka menjawab persoalan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda hukuman bagi kesalahan pengedaran dadah kepada hukuman penjara minimum supaya hukuman dapat dijatuhkan berdasarkan fakta setiap kes," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada kerajaan akan memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan pengedaran dadah.

Menjawab soalan tambahan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) mengenai jumlah pesalah yang dijatuhkan hukuman mati mandatori semakin meningkat, Takiyuddin mengesahkan perkara itu.

"Seperti yang Yang Berhormat Batu Kawan sebut memang ada peningkatan. Jumlah kes yang dikenakan hukuman mati mandatori adalah sebanyak 1,324 kes.

"Antaranya, kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan ada 374 kes, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (918), Akta Senjata Api (16) dan culik (6).

"Walaupun sebahagian daripada banduan yang dihukum mati adalah warga asing, mereka berada di dalam negara kita dan perlu diberi hak sewajarnya, menghargai hak-hak asasi kepada mereka.

"Saya beri jaminan kerajaan kita akan mengambil kira hasil yang dibuat jawatankuasa kajian ini," katanya.



Sumber : Ganti hukuman mati: Laporan akan ke Kabinet

Post a Comment

0 Comments