Malaysia perlu tetapkan tempoh miliki penawar COVID-19

Beberapa hari lalu, Malaysia mula berbicara soal vaksin COVID-19. Kita berbicara bukan mengenai 'apakah vaksin selamat' dan 'adakah terdapat kesan sampingan vaksin' kerana perbahasan ini sesuai bagi mereka dalam bidangnya sahaja.

Apa yang kita semua patut bincang bukan sahaja melihat dengan kaku angka jangkitan setiap hari - sama ada kekal satu atau dua angka - kemudian meletakkan tanda aras keperluan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula jika jangkitan harian mencecah tiga angka.

Bukan juga kita minta sempadan terus ditutup daripada menerima pelancong luar atau menghalang rakyat kita melancong atau melaksanakan aktiviti di luar sempadan.

Apa yang perlu, kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang pencegahan lebih berkesan dan orang ramai menyokong kempen norma baharu serta berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dari semasa ke semasa.

Oleh kerana ada sektor yang sangat terjejas dengan pandemik, kita harus berfikir apakah jalan keluar yang selamat atau sekurang-kurangnya meminimumkan tahap risiko dihadapi.

Salah satu ialah vaksin COVID-19. Kita mahu lihat apakah 'garis masa' dalam negara untuk mendapatkan vaksin ini?

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, belum ada kepakaran membangunkan vaksin. Setuju atau tidak, Malaysia hanya boleh mendapatkan vaksin hanya dengan dasar kerajaan semasa.

Kerajaan perlu melihat negara pengeluar vaksin manakah boleh membekalkannya kepada Malaysia? Apakah ia selamat dan bagaimana tahap ketika ujian dijalankan sama ada tahap pertama, kedua dan ketiga?

Bagi pembaca akhbar Arab, dunia media mereka terlebih dahulu membuat liputan terperinci hal ini, bahkan kritikal membangkitkan bagaimana dunia akan menghadapi satu lagi masalah selepas pandemik iaitu bagaimana vaksin COVID-19 bakal diperoleh sesebuah negara.

Jika penduduk dunia dianggarkan 7 bilion memerlukan segera vaksin ini kelak, persoalannya bagaimana ia boleh sampai ke tempat masing-masing bagi menyelamatkan semua penduduk dunia?

Ketepikan Antonov An-225 Mriya sebagai pesawat kargo terbesar dunia. Kebanyakan pesawat kargo digunakan banyak negara hari ini jenis BOEING 747 yang dikatakan boleh memuatkan satu juta dos vaksin COVID-19 sahaja dalam satu-satu masa.

Ini bermaksud 7,000 pesawat kargo diperlukan untuk membawa vaksin bagi memenuhi keperluan 7 bilion penduduk dunia.

Sebab itu kebanyakan negara hari ini menumpukan soal vaksin sedang diuji dan mengambil berat dengan rapat. Ada negara mula bercakap soal memproses dan mengeluarkan vaksin di negaranya sebagai alternatif.

Mesir sebagai contoh melancarkan inisiatif '100 Juta Rakyat Sihat' pada 20 Jun lalu untuk memberikan rawatan kepada rakyat yang mempunyai penyakit kronik secara percuma, merawat penghidap hepatitis C dan memerangi pandemik.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sendiri memuji Mesir yang diisytihar berjaya memerangi Hepatitis C yang selama ini merekodkan angka penghidap paling ramai. Kini Mesir bersiap sedia pula menamatkan rantaian COVID-19.

Walaupun pada 1 Julai lalu menamatkan PKP malam dan membuka semula sempadannya dengan SOP tertentu, Mesir membuktikan mereka berjaya setakat ini.

Pada saat itu, pandemik menggila di Mesir dengan angka jangkitan lebih kurang 1,000 kes sehari dan 400 kes sembuh setiap hari.

Mesir membuka sempadan dan menerima pelancong luar untuk memulihkan segera ekonominya dan secara tidak langsung membuktikan kajian dibentangkan Mei lalu adalah tepat apabila menyatakan Julai akan menyaksikan jangkitan turun secara berperingkat dan angka sembuh bakal meningkat sehingga Mesir diisytiharkan sifar jangkitan dan bebas COVID-19.

Hari ini, jumlah sembuh harian sekitar 1,000 lebih kekal selama seminggu dan angka jangkitan harian hanya 100 lebih.

Jika sesiapa perasan, Mesir mula mengumumkan kerjasama dengan Jepun menghasilkan ubat rawatan COVID-19 pada Jun dan angka sembuh meningkat secara berperingkat sejak itu.

Pada 21 Julai lalu, Mesir melalui Kementerian Kesihatan dan Penduduk mengadakan perbincangan dua hala untuk menandatangani perjanjian persefahaman dengan China untuk pemprosesan dan pengeluaran vaksin COVID-19 di Mesir untuk seluruh benua Afrika vaksin diumumkan berkesan dan berjaya.

Syarikat Sinopharm China sebagai pihak makmal yang menjalankan kajian dan pengeluar vaksin COVID-19 dan Mesir menandatangani dokumen persetujuan awal dengan syarikat pengeluar ubat Mesir, Vacsera.

Vaksin ini kini menjalani ujian peringkat ketiga di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Setakat ini ia berkesan dan keputusan penuh dijangka akhir Ogos.

Sebaik diumumkan berjaya pada akhir Ogos ini, Mesir akan mula memproses dan mengeluarkannya pada September yang harganya dijangka antara AS$39 hingga AS$D60 setiap dos.

Mesir juga menempah 30 juta dos vaksin OXFORD yang sedang menjalani ujian tahap ketiga dan juga bakal memperoleh keputusannya pada akhir Ogos ini.

Jika Mesir dan UAE meletakkan garis masa jelas untuk memperoleh vaksin, bagaimana pula kita di Malaysia?

Mohd Faizal Sabhon
Pengarah Urusan Al Nuhas Travel & Tours



Sumber : Malaysia perlu tetapkan tempoh miliki penawar COVID-19

Post a Comment

0 Comments