
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa sebarang cap kelulusan WHO pada calon vaksin COVID-19 memerlukan kajian data keselamatan yang ketat, selepas Russia semalam mengumumkan mereka sudah meluluskan vaksin COVID-19.
Presiden Vladimir Putin berkata, Russia menjadi negara pertama yang meluluskan vaksin bagi melawan jangkitan COVID-19.
Jurucakap agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Tarik Jasarevic, berkata pihaknya berhubungan rapat dengan pihak berkuasa kesihatan Russia dan perbincangan untuk pra-kelayakan vaksin WHO yang merangkumi tinjauan dan penilaian ketat terhadap semua data keselamatan dan keberkesanan diperlukan.
Jasarevic berkata, setiap negara mempunyai badan pengawal selia kebangsaan yang meluluskan penggunaan vaksin atau ubat-ubatan di wilayahnya.
"Tugasan WHO ialah melakukan proses pra-kelayakan vaksin dan ubat-ubatan dengan melakukan ujian klinikal, di mana ia diperlukan pengilang memandangkan itu menunjukkan ubat atau vaksin itu berkualiti dan diluluskan WHO.
"Kami didorong oleh kepantasan beberapa calon vaksin yang sedang diuji dan berharap beberapa vaksin ini terbukti selamat dan efisien.
"Namun mempercepat kemajuan tidak bererti tidak berkompromi terhadap keselamatan," katanya.
Vaksin dikenali sebagai Sputnik V dihasilkan oleh institut penyelidikan Gamaleya yang bekerjasama dengan kementerian pertahanan negara.
Ketika ini sebanyak 168 calon vaksin sedang diusahakan di seluruh dunia dan dari jumlah itu, 28 vaksin sudah diuji pada manusia di mana enam daripadanya sudah mencapai ujian klinikal Fasa 3.
Namun, calon Gamaleya iaitu antara 28 calon vaksin dalam penilaian klinikal hanya disenaraikan di tahap satu sahaja.
Sementara itu, Ketua Dana Pelaburan Langsung Russia, Kirill Dmitriev, berkata Fasa 3 ujian akan bermula hari ini dan pengeluaran perindustrian dijangka mulai bulan September di mana 20 negara sudah memesan lebih dari satu bilion dos. - AFP
Sumber : WHO mahu nilai data keselamatan vaksin Russia
0 Comments