Moratorium berjaya bantu pihak terjejas wabak

Kebimbangan rakyat mengenai kedudukan moratorium enam bulan bagi pinjaman terjawab apabila Perdana Menteri mengumumkan lanjutannya dan bantuan bersasar.

Ia merangkumi lanjutan moratorium tiga bulan bagi yang kehilangan pekerjaan tahun ini dan masih menganggur. Kedua, pengurangan bayaran ansuran bulanan selaras kadar pengurangan gaji bagi individu mengalami potongan gaji tertakluk kepada jenis pinjaman.

Bank juga komited membantu peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan hanya membayar faedah untuk masa ditetapkan, memanjangkan tempoh keseluruhan pembayaran bagi mengurangkan ansuran bulanan dan pelepasan lain sehingga kewangan peminjam stabil.

Sementara itu, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sidang Parlimen, Malaysia antara negara terawal melaksanakan moratorium pinjaman automatik berbanding negara lain yang tidak berbuat demikian seperti Singapura, Thailand, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Jadi, kita dapat lihat moratorium sedikit sebanyak berjaya membantu rakyat menghadapi krisis jangka pendek.

Walaupun peluang jangka pendek diberikan bank kepada rakyat agar mereka dapat membuat simpanan dengan menyertai moratorium ini, tidak semua mengambil keputusan untuk turut serta.

Lantaran itu, jumlah peminjam individu memilih untuk tidak menyertai moratorium meningkat daripada 331,000 pada April kepada 601,000 (Julai). Bagi PKS pula, jumlah peniaga tidak menyertai moratorium meningkat daripada 5,000 kepada 13,000.

Kenaikan itu seiring keputusan kerajaan membuka semula sektor ekonomi, awal Mei. Ini diikuti bantuan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) seperti lanjutan Program Subsidi Upah dan insentif pengambilan pekerja. Dasar ini membantu pemulihan sebahagian ekonomi negara.

Justeru, ia menjelaskan keputusan peminjam individu dan PKS untuk tidak menyertai moratorium. Namun, masih ada perniagaan dan individu belum pulih serta masih terbeban.

Pada Mei, kadar pengangguran secara keseluruhan meningkat kepada 5.3 peratus berbanding 5 peratus (April) bersamaan kenaikan pengangguran sebanyak 47,300 kepada 826,100 orang.

Jika statistik terbaharu dilihat berdasarkan tuntutan faedah Sistem Insuran Pekerjaan (SIP), angka kehilangan pekerjaan mencecah 62,247 pada minggu ketiga dalam Julai.

Dalam usaha cuba pulih daripada krisis yang belum pernah terjadi, bank perlu lebih awal menyediakan penimbal jika ada lebih banyak bantuan diperlukan pada masa hadapan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan menyatakan bank mengalami kerugian RM1.06 bilion setiap bulan sepanjang tempoh moratorium yang akan membawa kepada kerugian RM6.4 bilion, akhir September.

Jadi, kerugian itu menjelaskan keputusan kerajaan dan bank melanjutkan moratorium hanya kepada golongan sasar selepas September.

Usaha kerajaan menangani moratorium pinjaman tampak positif kerana ia antara isu dibangkitkan peserta dalam perbincangan kumpulan fokus untuk kaji selidik suku tahunan EMIR Research akan datang.

Penulis adalah Penganalisis Penyelidik di EMIR Research



Sumber : Moratorium berjaya bantu pihak terjejas wabak

Post a Comment

0 Comments