Usul had statutori hutang negara dinaikkan 60 peratus daripada KDNK

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan mengusulkan untuk menaikkan had statutori hutang sehingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 55 peratus pada masa sekarang.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata Kementerian Kewangan sudah membuat bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) 2020, awal hari ini termasuk mencadang menaikkan had statutori hutang tersebut.

"Peningkatan jumlah hutang ini adalah bagi membiayai defisit yang turut mengambil kira pelaksanaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi dengan suntikan langsung fiskal. Kita akan membahaskan isu ini dengan lebih lanjut semasa RUU tersebut dibentangkan di dalam sesi ini," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, nisbah jumlah hutang terkumpul berdasarkan had statutori 55 peratus daripada KDNK yang ditetapkan merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islamik.

Beliau berkata, kerajaan akan menumpukan fokus dalam memelihara disiplin fiskal dan ekosistem kewangan negara amat berdaya tahan dengan institusi perbankan mempunyai kemampanan modal sebanyak RM121 bilion, iaitu tiga kali ganda berbanding ketika Krisis Kewangan Global 2009.

"Selepas mengambil kira krisis COVID-19 dan suntikan fiskal yang dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman domestik bagi pakej rangsangan ekonomi, defisit fiskal dijangka meningkat sekitar 5.8 peratus hingga 6.0 peratus daripada KDNK.

"Apa yang ingin ditekankan adalah bahawa kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal ke bawah paras 4.0 peratus dalam jangka masa sederhana," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul menegaskan bahawa keadaan kewangan terkini kerajaan masih kukuh atas keupayaannya menguruskan hutang.

"Sehingga kini, kerajaan tidak pernah gagal dalam membiayai semula serta membayar hutang. Jadi pada masa ini, kerajaan mempunyai dua kaedah pengurusan disiplin fiskal iaitu disiplin secara perundangan atau secara pentadbiran," katanya menjawab soalan daripada (BN-Pasir Salak) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang bertanyakan mengenai kedudukan kewangan kerajaan.

Menjawab soalan daripada Tony Pua (PH-Damansara) pula beliau berkata keseluruhan hutang negara berada dalam lingkungan RM854 bilion manakala tanggungan liabiliti kerajaan adalah sebanyak RM1.2 trilion.

"Ini tidak bermaksud negara kita bangkrap kerana bangkrap dapat diukur berdasarkan keupayaan kerajaan membayar hutang mengikut masa yang ditetapkan," katanya. – BERNAMA



Sumber : Usul had statutori hutang negara dinaikkan 60 peratus daripada KDNK

Post a Comment

0 Comments