Nilai pasaran pasukan Kelantan merudum

KUALA LUMPUR: Pihak yang berhasrat membeli pasukan bola sepak Kelantan termasuk Dr Wan Kamal Wan Napi perlu mempunyai dana sekurang-kurangnya RM3.4 juta.

Anggaran itu bersandarkan semakan yang dilakukan di laman sesawang bola sepak terkenal, Transfermarkt yang meletakkan nilai semasa keseluruhan pasaran skuad The Red Warriors (TRW) itu sekitar 675,000 euro (RM3.36 juta).

Berdasarkan nilai itu, ia mungkin boleh dianggap 'harga mampu milik' tetapi harus diingat, tanda harga terbabit sekadar anggaran kasar dan nilai sebenar mungkin hanya boleh ditentukan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Bagaimanapun, nilai terbabit jelas jatuh 'menjunam' memandangkan sebelum ini ketika TRW beraksi buat kali terakhir dalam Liga Super pada 2018, nilai pasaran mereka mencecah 2.58 juta euro (RM12.8 juta).

Sementara itu, Wan Kamal yang juga bapa Wan Kuzain dan Wan Kuzri disaran supaya menjadi pemilik baharu The Red Warriors Sdn Bhd (TRW) sekiranya beliau benar-benar serius dan mahu membeli pasukan Kelantan.

Cadangan itu dilontarkan Pengerusi Jawatankuasa Penajaan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Ahmad Muzakkir Hamid yang menjelaskan pilihan itu sebagai jalan yang terbaik memandangkan Wan Kamal tidak perlu menanggung hutang untuk menguruskan pasukan Kelantan.

Muzakkir berkata, Wan Kamal perlu menyatakan dengan lebih jelas mengenai hasratnya itu sama ada dia mahu menjadi pemilik baharu kepada pasukan Kelantan yang beraksi dalam Liga Perdana ataupun membeli KAFA sekali gus memenuhi syarat penswastaan ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Kalau dia mahu beli pasukan tanpa mahu menanggung hutang, saya cadangkan dia menjadi pemegang saham terbesar dalam TRW yang mana ia khusus untuk menguruskan pasukan utama Kelantan dalam Liga Perdana. Kalau dia beli TRW, dia tidak perlu risau pasal hutang lapuk.

"Untuk TRW, dia hanya perlu fokus pada kewangan semasa dan pengurusan pasukan untuk musim ini dan seterusnya. Secara peribadinya saya lihat ini lebih baik untuk kita dan juga dia jika dia betul-betul serius dalam perkara ini.

"Berbeza dengan KAFA yang ketika ini ada pasukan Piala Belia, Piala Presiden dan pasukan wanita. Kalau mahu beli KAFA, sudah tentu dia kena tanggung semua liabiliti yang ada," katanya.

Terdahulu, Wan Kamal menyatakan minat menjadi pemilik baharu pasukan itu menerusi ciapannya di laman sosial Twitter, semalam.

Bagaimanapun, Wan Kamal menegaskan KAFA perlu 'mencuci' segala hutang yang ditanggung pasukan itu sebelum dia mengambil alih pengurusan pasukan TRW.

"Saya berminat membeli pasukan itu tetapi mereka perlu menyelesaikan hutang mereka terlebih dahulu.

"Saya mahu mengubah budaya dalam pemikiran pengurusan dan menyediakan pemain untuk masa depan dan pembangunan bola sepak," kata Wan Kamal.



Sumber : Nilai pasaran pasukan Kelantan merudum

Post a Comment

0 Comments