Operasi bersepadu MBSA: Ada peniaga marah, ada akur tindakan

SUNGAI BULOH: Ada yang marah dan ada juga akur dengan tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan operasi bersepadu di Bandar Baru Sungai Buloh terhadap peniaga dan penjaja tidak berlesen serta melanggar peraturan.

Bagi peniaga makanan, Noraziahwati Arshad, 33, dia memahami tindakan MBSA mengarahkannya dan penjaja lain yang berniaga di Jalan 1B/1 Bandar Baru Sungai Buloh menutup perniagaan kerana berniaga tanpa lesen.

Walaupun terputus pendapatan harian apabila perniagaan yang baru mula dibuka selepas ditutup tiga bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Noraziahwati akur dengan tindakan penguatkuasaan berkenaan.

"Kami terima tindakan yang diambil pihak MBSA itu dan selepas ini akan mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu memohon lesen perniagan. Buat sementara waktu ini, kami diminta memohon lesen penjaja sementara.

"Saya dan peniaga kecil lain sudah lama berniaga di situ, sebelum ini hanya dikenakan saman sahaja tetapi kali ini tindakan lebih drastik diambil. Kami tidak boleh salahkan mereka (MBSA)," katanya yang sudah lebih lapan tahun menjalankan perniagaan di situ.

Berkongsi pendapat sama adalah peniaga kuih, Nik Normah Nik Mat, 56, yang sudah lebih 20 tahun berniaga di sekitar Sungai Buloh.

"Memang selama ini berniaga tiada lesen, jadi kita akur dengan arahan untuk kita ambil permit penjaja sementara. Namun, diharap MBSA benarkan kami kembali berniaga di tempat sama kerana kami sudah lama di situ, tetapi terpulanglah kepada mereka untuk menimbangkannya," katanya.

Dia yang kini berniaga di Jalan 1B/1 Bandar Baru Sungai Buloh bersama 16 peniaga kecil lain, juga mengakui tidak sama sekali marah dengan tindakan diambil MBSA.

Kedua-dua peniaga kecil itu ditemui pada Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh di sini, hari ini.

Pada program itu, peniaga kecil dan penjaja diberikan taklimat dan ruang untuk memohon permit penjaja sementara, permohonan tambahan pindaan seperti sengkuap (awning), binaan pemisah (partition) dan sebagainya.

Sofia Mamat, 31, yang menyambung legasi bapanya berniaga cendol pulut bersama suami, kesal dengan tindakan individu yang membuat rakaman video mengenai keadaan di Bandar Baru Sungai Buloh dan menularkannya.

Menurutnya, sekiranya individu itu tidak berpuas hati dengan tindakan MBSA menjalankan penguatkuasaan, aduan perlu disalurkan kepada pihak yang betul dan bukannya menjejaskan peniaga lain.

"Mesti ada sebab MBSA ambil tindakan dan kita harus faham dengan tindakan itu, kita harus percaya rezeki ada di mana-mana. Namun, tidak perlu buat video dan viralkan di media sosial jika marahkan pusat judi haram. Salurkan aduan pada pihak yang berkenaan.

"Akibat perbuatan itu, peniaga lain menerima tempiasnya kerana selama ini MBSA menjalankan penguatkuasaan dengan penuh budi bicara," katanya yang berniaga di Bandar Baru Sungai Buloh dan Paya Jaras.

Peniaga makanan, Nurul Aini Ab Rashid, 57, bagaimanapun tidak berpuas hati dengan tindakan MBSA yang didakwa tidak memberi masa secukupnya untuk mengalihkan tiga kontena miliknya yang digunakan sebagai tempat berniaga dan stor barangan.

"Notis yang diberikan terlalu singkat, tiada tolak ansur ketika kami merayu agar mereka tidak merampas kontena berkenaan. Kami memerlukan masa untuk mengalihkan tiga kontena berkenaan kerana perlu menguruskan tempahan lori, kren dan sebagainya," katanya.

Difahamkan, MBSA melancarkan operasi terbabit susulan penularan video mengenai kegiatan premis perjudian dan rokok seludup sekitar Bandar Baru Sungai Buloh yang ditularkan oleh peniaga burger, Asri Janggut atau nama sebenarnya Mohd Asri Hamid.

Pengasas Hot Burger Malaysia itu menerusi Facebook minggu lalu membongkar kegiatan itu yang didakwa terus beroperasi sejak beberapa tahun lalu kerana dilindungi pihak berkuasa.



Sumber : Operasi bersepadu MBSA: Ada peniaga marah, ada akur tindakan

Post a Comment

0 Comments