KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan sistem "remote voting centre" (pusat pengundian pencil) bagi membolehkan pengundi di luar Sabah menunaikan tanggungjawab semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Timbalan Presidennya, Datuk Donald Peter Mojuntin, berkata amalan itu dilaksanakan di beberapa negara dan semakin diterima ketika dunia menghadapi penularan COVID-19 sekarang.
"Parti politik Sabah boleh menempatkan ejen masing-masing di pusat yang dikenal pasti bagi memastikan integriti undi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara mencadangkan supaya pusat tersebut dibuka selama dua hari bermula hari pengundian awal.
Donald berkata, UPKO juga mencadangkan pusat pengundian pencil di Semenanjung Malaysia ditempatkan di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang, sementara di Sarawak pula pusat itu ditempatkan di Kuching dan Miri, manakala di Singapura di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, katanya, menambah kira-kira 18 peratus atau lebih 200,000 pengundi Sabah kini berada di luar negeri.
Pusat sedemikian juga boleh diperkenalkan di Sabah seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Kudat, Keningau dan Tawau sebagai usaha mengekang penularan COVID-19.
Selain itu, beliau berkata, kemasukan rakyat Sabah yang bakal pulang dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk mengundi ketika penularan pandemik COVID-19 ini, berpotensi membuatkan bilangan kes wabak terbabit meningkat secara mendadak.
"PRN akan diadakan di seluruh negeri dengan jumlah kerusi yang banyak terutamanya di kawasan terpencil, tambahan pula ramai pengundi akan kembali ke kampung masing-masing berpotensi untuk meningkatkan risiko COVID-19.
"Pengangkutan awam seperti pesawat dan bas akan sesak dan berisiko walaupun kita ada prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan.
"Kita berharap SPR dapat membuat perubahan pengurusan mengundi ini bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat Sabah ketika mengundi kelak," katanya.
Sumber : PRN Sabah: Pusat pengundian pencil untuk perantau
0 Comments