KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad optimis parti baharu ditubuhkannya boleh menjadi blok penentu kepada kemenangan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, biarpun parti itu tidak akan bertanding di banyak kerusi, namun bilangan yang ada sudah mencukupi dan mampu menang.
Tanpa memperincikan kerusi tumpuannya, Dr Mahathir memberi bayangan kerusi yang difokuskan partinya kelak adalah yang memiliki peratusan pengundi Melayu tinggi.
“Kalau parti kita kemas, kita boleh arah parti (gabungan) mana kita akan pilih kerana kita akan menentukan siapa yang menang.
“Bila kita lawan sama kita (parti Melayu), kita dapat undi sama banyak. Jadi yang menentukan siapa menang (adalah pengundi) bukan Melayu,” katanya ketika hadir pada Program Amanat Perjuangan Baharu Bersama Ayahanda Tun M di Bangsar, hari ini.
Turut kelihatan, bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya.
Beliau berkata, penubuhan parti baharu yang berasaskan perjuangan membela Melayu ini akan memecahkan undi Melayu.
Bagaimanapun, katanya, parti baharu itu akan memilih ahli yang benar-benar komited untuk bekerja demi perjuangan bangsanya.
“Kita nak pilih ahli yang komited, yang bekerja keras dan berpegang kepada dasar parti. Yang sudah menang (dalam pemilihan parti) dulu saya fikir kita kena fikir tentang (menjadi) ahli baru (parti baru),” katanya.
via Wowberita
0 Comments