Penduduk setempat tampil pertahankan peniaga burger

Seorang penduduk setempat tampil mempertahankan pemilik Hot Burger Malaysia yang membangkitkan isu kegiatan perjudian di beberapa unit kedai dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh, semalam.

Menurut Azlan Zambry, apa yang dinyatakan dalam video tersebut benar-benar berlaku malah kedai rokok seludup milik warga Acheh itu dipercayai telah beroperasi di lokasi tersebut lebih 30 tahun.

“Apa yang berlaku dan dinyatakan adalah perkara benar. Sebagai contoh, kedai rokok Acheh yang dipaparkan di dalam video itu beroperasi lebih 30 tahun. Tidak pernah berusik!,” katanya menerusi Facebook.

Azlan menambah, dia hanya mahu menyatakan kebenaran dan tidak berniat untuk mengganggu siasatan polis.

“Saya tidak berniat mengganggu siasatan polis, tetapi ia perkara benar yang tidak perlu disangkal selain isu kedai judi yang wujud.

“Malah saya pernah menyaksikan insiden rompakan dan tetakan yang berkaitan dengan kedai judi tersebut,” ujarnya.

Polis cari pemilik akaun Hot Burger Malaysia

Polis akan memanggil seorang pemilik gerai burger bagi membantu siasatan berhubung video tular yang mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, individu dikenali sebagai Asri Janggut yang disyaki menularkan video berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Individu berkenaan telah membangkitkan isu kegiatan perjudian di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh.

“Dia turut memuat naik status berkemungkinan dirinya akan dibunuh atas tindakan memuat naik video di laman sosial,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Shafa’aton berkata, pemilik akaun Facebook itu juga tidak berpuas hati terhadap tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menyita gerai burger miliknya.

“Kita telah menerima dua laporan polis berhubung video berkenaan daripada Ketua Balai Sungai Buloh dan MBSA,” katanya.

Maklumat dalam video tidak tepat

Beliau berkata, video yang tular di media sosial itu boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej Polis Diraja Malaysia dalam menangani kegiatan perjudian di Sungai Buloh.

“Maklumat yang diberikan dalam video tersebut juga tidak tepat,” katanya.

Shafa’aton berkata, pihaknya telah membuat enam serbuan di tempat berasingan di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh, semalam.

“Kita menahan dua lelaki warga Bangladesh dan merampas lima tablet, satu modem dan wang tunai RM114 dalam serbuan itu,” katanya.

Beliau berkata, manakala lima serbuan di tempat berlainan pula mendapati premis yang dinyatakan dalam keadaan berkunci.

“Kita terpaksa menggunakan pemotong besi untuk membuat pintu premis dan hasil pemeriksaan mendapati premis itu tidak beroperasi,” katanya.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments