Tiga kes positif COVID-19 di Pulau Pinang

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menekankan mengenai kepentingan pengesanan kontak selepas tiga kes positif COVID-19 dilaporkan di negeri itu, hari ini.

Beliau berkata, lebih 100 orang yang ada kaitan dengan kes positif berkenaan sudah dihubungi dan disaring, dengan majoriti daripada mereka disahkan negatif virus berkenaan.

"Kita masih menunggu beberapa keputusan lagi. Apa yang penting adalah pengesanan kontak supaya ujian dan pengasingan dapat dijalankan. Jika perlu, mereka yang dijangkiti dirawat segera," katanya di sini, hari ini.

Pulau Pinang merekodkan tiga kes positif COVID-19 hari ini, dengan dua daripadanya adalah daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga dan satu lagi, di bawah Kluster Kurau yang dikesan di Perak.

Sebanyak 13 kes baharu COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kes jangkitan dalam negara, setakat ini adalah sebanyak 9,083 kes.

Kes pertama bagi Kluster Kurau (kes ke-9,050) dilaporkan pada 7 Ogos lalu, manakala kes kedua (kes ke-9,082) adalah abang ipar bagi kes pertama, yang dikesan melalui pengesanan kes aktif dan saringan kontak rapat.

Berikutan itu, seluruh ahli keluarga kes berkenaan di Pulau Pinang disaring. Pada 9 Ogos lalu, pesakit itu disahkan positif, manakala lima lagi ahli keluarganya negatif.

Jumaat lalu, Pulau Pinang merekodkan satu kes positif COVID-19, sekali gus menamatkan status hijau negeri itu sejak tiga bulan lalu.

Dengan kes baharu hari ini, jumlah jangkitan meningkat kepada 125 orang di negeri itu.

Kon Yeow turut meminta orang ramai supaya kekal tenang dan tidak berkongsi maklumat yang tidak disahkan.



Sumber : Tiga kes positif COVID-19 di Pulau Pinang

Post a Comment

0 Comments