
SANDAKAN: Perdana Menteri tertarik dengan perniagaan Restoran Nasi Manuk, di sini, yang terletak di Harbour Square Sandakan selepas sempat bersarapan di situ pagi tadi.
Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, sesiapa yang belum berkunjung ke Restoran Nasi Manuk boleh datang ke situ.
Katanya, beliau teruja berbual dengan pengusaha restoran berkenaan yang dari kalangan anak muda.
"Saya pergi ke tempat di mana saya dijemput duduk bersarapan walaupun saya sudah bersarapan jam 6 pagi tadi.
"Ia Restoran Nasi Manuk, siapa sudah makan Nasi Manuk? Kalau tidak ada, pergi cuba, saya mempromosikan," katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan bersama Penjawat Awam di Sandakan, hari ini.
Beliau sempat melakukan tinjauan mesra di Pusat Bandar Sandakan dengan melawat Pasar Tamu Hujung Minggu Bandar Sandakan dan singgah di restoran itu sebelum memulakan acara rasminya awal pagi tadi.
Muhyiddin berkata, beliau sempat berbual dengan pengusaha restoran berkenaan dan mereka berterima kasih atas bantuan 'one off' yang diberikan.
Sementara itu, pengusaha Restoran Nasi Manuk, Mohammad Amrin, 24, berkata beliau mengusahakan perniagaan itu bersama rakan, Din Amiruddin Amirun, 23, sejak dua tahun lalu.
Katanya, mereka teruja berbual bersama Perdana Menteri dan perkara lebih menggembirakan apabila Muhyiddin tiba-tiba berdoa untuk mereka.
"PM sempat mendoakan agar perniagaan kami semakin maju dan mencadangkan kami membuka cawangan di Kota Kinabalu.
"Sebelum itu, beliau juga ada bertanya bagaimana kami mula berniaga dan saya ceritakan kami bermula empat tahun lalu dengan modal RM1,000 sebagai peniaga bazar.
"Selepas dua tahun berniaga kami dapat sewa restoran dan membuka Restoran Nasi Manuk ini," katanya yang menceritakan perkara itu kepada Perdana Menteri.
Katanya, beliau juga ditanya mengenai keadaan perniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan.
"Saya ceritakan kepada beliau bahawa kami menutup perniagaan seperti diarahkan dan apabila dibenar berniaga, kami mulakan perniagaan seperti biasa.
"Namun, atas pemberian geran khas RM3,000 yang PM umumkan dulu, ia banyak membantu.
"Kami bersyukur dengan geran itu dan Alhamdulillah selepas PKP pendapatan kami meningkat dan kini boleh mencecah RM54,000 sebulan," katanya.
Sumber : PM ajak makan Nasi Manuk
0 Comments