Putera Mahkota Arab Saudi didakwa cuba bunuh bekas perisik

WASHINGTON: Bekas pegawai perisik kanan Arab Saudi dalam tuntutan mahkamah Amerika Syarikat (AS) semalam, mendakwa Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman cuba membunuhnya pada 2018, beberapa minggu selepas pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi, di Turki.

Saad Aljabri mendakwa, Putera Mohammed menghantar 'skuad hit' ke Kanada, lokasi dia dibuang negara, untuk membunuh dan mengerat badannya dengan kaedah sama seperti pembunuhan Khashoggi, didakwa dilakukan ejen putera itu di Istanbul pada Oktober 2018.

"Bagi memenuhi keinginan membunuh, Defendan bin Salman secara peribadi mengatur cubaan pembunuhan di luar bidang kehakiman ke atas Dr Saad yang masih berterusan hingga hari ini," tuduh Aljabri dalam tuntutan mahkamah yang difailkan di Mahkamah Persekutuan di Washington.

Aljabri mendakwa, Putera Mohammed mahu dia mati kerana rapat dengan pesaing putera yang juga bekas Ketua Keselamatan Arab Saudi, Putera Mohammed bin Nayef dan mempunyai pengetahuan berhubung aktiviti Putera Mahkota yang akan mengeruhkan hubungan rapat Washington-Riyadh.

"Dr Saad berada dalam posisi unik untuk mengancam pendirian Defendan bin Salman dengan pentadbiran AS. Itulah sebabnya Defendan bin Salman mahu dia mati," kata tuntutan itu.

Aljabri berada di luar negara pada Jun 2017, ketika Putera Mohammed cuba merebut kuasa di istana dengan menggulingkan Mohammed bin Nayef sebagai putera mahkota dan meletakkan baginda dalam tahanan rumah.

Selepas anaknya di Riyadh dikenakan sekatan perjalanan, Aljabri menolak permintaan untuk pulang kerana bimbang akan mengalami nasib sama seperti Putera Nayef, dan pindah tempat tinggal anak tunggalnya di Kanada.

Sejak itu Riyadh cuba mendapatkan kerjasama Interpol untuk membawanya pulang, namun gagal, selain dia mendakwa sepasukan ejen dihantar ke AS bagi mengesannya.

13 hari selepas pembunuhan Khashoggi pada 2 Oktober 2018, sepasukan yang didakwa Aljabri dalam tuntutan itu sebagai 'tentera peribadi upahan, Tiger Squad' tiba di Kanada.

Pasukan itu dakwanya, membabitkan pakar forensik dan peralatan yang menyamai kumpulan pembunuhan Khashoggi yang mayatnya masih gagal ditemui.

Dia mendakwa, pihak keselamatan Kanada meragui serta mengganggu rancangan itu, tetapi usaha membunuhnya terus berlanjutan dan Putera Mohammed memperoleh fatwa agama atau perintah, atas kematiannya daripada ulamak.

Pada Mac lalu, dua anaknya di Arab Saudi dilarikan dan tiada khabar sejak kejadian itu.

Tuntutan terhadap Putera Mohammed bersama 12 individu dan 11 orang yang identitinya tidak dikenal pasti difailkan atas dakwaan cubaan membunuh melampaui kuasa mahkamah di bawah Akta Perlindungan Mangsa Seksaan.

Aljabri menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan bagi 'tekanan emosi yang teruk' kegelisahan, tekanan darah tinggi dan penyakit lain serta ganti rugi hukuman terhadap defendan.

Dia turut meminta mahkamah mengisytiharkan defendan mencabuli 'undang-undang negara' di bawah Statut Alien Tort.

"Mahkamah akan memulakan proses mendapatkan defendan bin Salman dan ejennya supaya bertanggungjawab ke atas tindakan mereka," kata tuntutan itu.

Kedutaan Arab Saudi di AS, ketika dihubungi AFP, bagaimanapun enggan mengulas lanjut terhadap tuntutan terbabit. - AFP



Sumber : Putera Mahkota Arab Saudi didakwa cuba bunuh bekas perisik

Post a Comment

0 Comments