Tiada keutamaan pembangunan 'kereta terbang' ketika ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini tidak memberikan keutamaan terhadap pembangunan projek kereta terbang (dron atau super dron), sebaliknya memberi keutamaan kepada pembangunan usahawan kecil yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar,

berkata pihaknya juga sedang berusaha untuk mencapai hasrat dan matlamat yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

"Keutamaan MEDAC sekarang bukanlah projek dron atau super dron tetapi perhatian khusus kepada pembangunan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (IKS), mikro dan koperasi yang terjejas COVID-19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi berkata, industri 'air mobility' terbang masih diterajui dan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dan tidak membabitkan peruntukan daripada kerajaan.

"MEDAC hanya berperanan sebagai pemudah cara kepada pembangunan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) tempatan yang memfokuskan perkhidmatan dron atau super dron.

"Industri 'air mobility' serta industri berteknologi tinggi adalah industri berpotensi dan berupaya membuka peluang kepada satu bidang keusahawanan yang baru serta boleh dikomersial di peringkat antarabangsa.

Wan Junaidi menjelaskan, istilah kereta terbang adalah merujuk kepada super dron mengikut konteks sebenar dalam industri 'air mobility', yang mempunyai potensi tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menjelaskan pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung suntikan dana RM20 juta bagi pembangunan kereta terbang pula, Wan Junaidi berkata, terdapat permohonan peruntukan sedemikian, tetapi ia bertujuan untuk kajian terhadap prototaip kereta nasional.

"Ia asalnya dibincang pada Majlis Pembangunan Negara ketika itu untuk Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP) dan kemudiannya diluluskan peruntukan sebanyak RM8 juta sahaja, yang disalurkan kepada Syarikat DreamEdge melalui Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).

"Saya yakin kementerian yang terbabit dalam menyalurkan dana itu akan memantau kemajuan projek dan status suntikan fisikal itu," katanya.



Sumber : Tiada keutamaan pembangunan 'kereta terbang' ketika ini

Post a Comment

0 Comments