Roshadi gembira persefahaman pemain

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Roshadi Wahab gembira apabila pemainnya berhasil membentuk persefahaman positif menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan pada aksi Liga Perdana di Paroi, 26 Ogos ini.

Beliau yang dibantu bekas legenda Terengganu, Sapian Wahid berkata, kejayaan menumpaskan skuad Liga Super, Pahang, 3-0 pada aksi persahabatan di Stadium Darul Makmur jelas memperlihatkan corak permainan dan kombinasi anak buahnya kian mantap serta berbisa.

Perkembangan itu sekali gus menyebabkan bekas pertahanan Terengganu itu pening untuk menyenaraikan kesebelasan utama selepas semua pemain yang diturunkan pada aksi persahabatan ketiga itu memperagakan aksi terbaik.

"Selepas tiga kali aksi persahabatan, saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan semua pemain termasuk empat tonggak import yang bergandingan begitu baik dengan pemain tempatan.

"Saya juga puji persembahan penyerang muda, Muhammad Izzan Syahmi Mustapa yang beraksi dengan baik walaupun baharu sembuh daripada kecederaan kaki, apalagi dia turut meledak satu gol buat pasukan.

"Terus terang, saya katakan kini pening untuk menyenaraikan kesebelasan utama kerana semua pemain masing-masing bersaing hebat untuk merebut tempat. Namun situasi ini adalah perkembangan positif buat pasukan.

"Jika corak sebegini dikekalkan dan ditingkatkan semua pemain, saya berkeyakinan pasukan mampu menyaingi Negeri Sembilan pada aksi pertama selepas Liga Malaysia (Liga M) kembali di sambung," kata Roshadi.

Selain Muhammad Izzan, dua lagi jaringan skuad The Turtles itu dihasilkan kapten kelahiran Brazil, Bruno Suzuki manakala satu gol lagi disumbangkan oleh seorang lagi pemain muda, Engku Muhamad Nur Syakir Engku Yacob.

Roshadi berkata, bagi memantapkan lagi prestasi pasukan, skuadnya bakal berdepan dengan Kelantan pada aksi persahabatan keempat pada 14 Ogos ini.



Sumber : Roshadi gembira persefahaman pemain

Post a Comment

0 Comments