Ryan Deedat tunai janji

KUALA LUMPUR: Gara-gara cabaran disahut lebih 5,000 peminat melalui komen di Facebook (FB), Ryan Deedat terpaksa merakamkan video yang memaparkan dirinya menyarung tumit tinggi dan memakai rambut palsu, buat tatapan pengikut.

Biarpun malu tampil sebegitu di khalayak ramai, Ryan bersikap 'sporting' dengan memuat naik video terbabit biarpun menyedari bakal berdepan kecaman netizen.

"Idea ini saya ambil daripada aplikasi TikTok. Saya cabar peminat dan pengikut media sosial di mana jika saya berjaya mendapatkan 5,000 komen, saya akan tiru seperti apa yang dipaparkan dalam TikTok iaitu memakai kasut tumit tinggi dan rambut palsu.

"Saya berani buat cabaran itu kerana selama ini, saya tidak pernah mendapat komen sebanyak itu.

Ryan bakal tampil dengan single baharu yang turut menggunakan nama wanita pada judulnya, tidak lama lagi. Foto IG Ryan Deedat
Ryan bakal tampil dengan single baharu yang turut menggunakan nama wanita pada judulnya, tidak lama lagi. Foto IG Ryan Deedat

"Tidak sangka pula cabaran itu mendapat maklum balas positif. Apabila sudah berjanji, terpaksalah saya tunaikan," katanya kepada BH Online.

Ryan berkata, selepas berkongsi foto berkenaan, rata-rata peminat suka dengan apa yang dimuatkan iaitu sekadar bahan hiburan.

"Mereka tahu apa yang saya paparkan hanyalah untuk kandungan media sosial sahaja.

"Namun, tidak tahulah bagaimana maklum balas netizen apabila video terbabit dikongsi di laman popular media sosial lain. Dalam video asal, lelaki terbabit memakai skirt sambil mengangkat tong di belakang. Saya tidak beranilah buat begitu," katanya.

Ryan atau nama penuh, Sheikh Emir Deedat berkata, cabaran terbesar yang terpaksa dilalui adalah untuk mencari saiz kasut perempuan yang sesuai.

"Saiz kaki saya sembilan inci manakala saiz paling besar untuk wanita adalah lapan inci. Puas mencari, akhirnya terjumpa. Ketika saya mencuba kasut itu, ramai pelanggan yang berada di kedai memandang. Mungkin mereka pelik kenapa saya mencuba kasut perempuan... Saya buat tak tahu sahaja.

"Satu lagi cabaran, saya terpaksa berjalan dengan kasut tumit setinggi empat inci. Kalau tersilap langkah, boleh terseliuh buku lali dibuatnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, selepas Menari Dalam Gelap, Ryan, 28, bakal kembali dengan single baharu, bulan depan. Lagu yang masih dirahsiakan judulnya dihasilkan Ryan secara kerjasama dengan Universal Music Malaysia.

"Untuk single ini, kami sudah merancang pelbagai strategi pemasaran. Ini adalah projek terbesar saya tahun ini. Kami meletakkan sepenuh harapan untuk lagu ini 'meledak'.

"Judul masih dirahsiakan. Namun, apa yang boleh saya katakan, ia masih lagi memuja nama wanita seperti lagu Salimah yang saya pernah rakamkan.

"Rentaknya sama dengan lagu Salimah. Saya masih memilih nama wanita untuk dijadikan judul kerana peminat gemarkan konsep begitu," katanya.



Sumber : Ryan Deedat tunai janji

Post a Comment

0 Comments