Trump melawat adiknya yang sakit di Hospital New York

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam melawat adik lelakinya, Robert Trump, di sebuah hospital di New York, yang sedang menerima rawatan bagi penyakit yang tidak didedahkan.

Menurut wartawan AFP, pemimpin AS itu yang dilihat memakai pelitup muka ketika tiba di Hospital New York-Presbyterian dan memasuki fasiliti berkenaan melalui pintu belakang sebelum menghabiskan masa melawat selama kira-kira 45 minit.

Laporan media AS menyatakan bahawa adik kepada presiden itu sedang sakit tenat, namun tiada maklumat terperinci berhubung penyakit yang dihidapinya.

Trump, yang singgah di New York ketika dalam perjalanan ke kelab golfnya berhampiran Bedminster, New Jersey pada hujung minggu, hanya memberitahu media bahawa ahli keluarganya itu sedang melalui waktu yang sukar.

Walaupun kurang dikenali berbanding abangnya, Robert Trump, sebenarnya sudah lama memainkan peranan penting dalam empayar hartanah milik keluarga Trump selain benar-benar setia dengan presiden itu.

Sebelum ini, Robert Trump gagal mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang penerbitan buku oleh anak saudaranya, Mary Trump, bertajuk 'Too Much and Never Enough: How My Family Created the World's Most Dangerous Man' (Keterlaluan dan Tidak Pernah Cukup: Bagaimana Keluarga Saya Mencipta Manusia Paling Bahaya di Dunia).

Robert Trump menyifatkan buku itu, yang menggambarkan Donald Trump sebagai produk dihasilkan keluarga yang 'beracun', adalah sesuatu yang sangat mengaibkan.

Walaupun perintah sekatan sementara dikuatkuasakan, hakim menariknya semula pada Julai lalu, sekali gus membenarkan penerbitan buku itu.

Pada sidang media, Presiden Trump menggelarkan adiknya sebagai 'luar biasa' dan menyatakan bahawa mereka sememangnya mempunyai hubungan yang baik sejak azali. - AFP



Sumber : Trump melawat adiknya yang sakit di Hospital New York

Post a Comment

0 Comments