LONDON: Chris Smalling mengesahkan dia akan kembali ke pangkuan Manchester United daripada AS Roma dan tidak akan beraksi dalam baki perlawanan Liga Europa buat kelab Serie A itu.
Tonggak pertahanan itu dipinjamkan kepada kelab Itali berkenaan sejak musim panas lalu dan terdesak untuk kekal di Rome.
Bagaimanapun, kedua-dua kelab gagal mencapai kata sepakat mengenai yuran perpindahan pemain berusia 30 tahun itu.
Roma akan berdepan Sevilla dalam aksi pusingan 16 terbaik Liga Europa, awal pagi Jumaat ini dan ketiadaan Smalling pastinya memberi tamparan buat kelab itu.
"Saya kecewa kerana tidak dapat menamatkan apa yang kami mulakan musim ini.
"Untuk merasai pengalaman disayangi dalam tempoh singkat adalah sesuatu yang istimewa dan tidak akan dilupakan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain dan kakitangan kelab. Semoga berjaya pada pertemuan menentang Sevilla. DAJE ROMA!," katanya menerusi ciapan di Twitter.
United akan menyambung aksi Liga Europa dengan menentang LASK, awal pagi Khamis ini.
Difahamkan, United enggan memberi diskaun terhadap harga 18 juta pound (RM99 juta) yang diletakkan bagi melepaskan Smalling ketika Roma hanya sanggup membayar sekitar 16 juta pound (RM88 juta). - Agensi
Sumber : Smalling kembali sertai United
0 Comments