Perintah berkurung Filipina akibatkan ramai terkandas

MANILA: Tiada wang dan tidak bekerja, Ruel Damaso dilihat tidur atas kadbod dan bertahan dengan makanan diberikan di Lapangan Terbang Manila yang menempatkan puluhan orang terkandas ekoran sebahagian perintah berkurung dikuatkuasakan semula, hari ini.

Lebih 27 juta orang di pusat bandar dan empat wilayah diberikan notis 24 jam berhubung sekatan baharu yang menutup perniagaan, pengangkutan awam dan penerbangan dihentikan ketika kerajaan berusaha mengekang lonjakan COVID-19.

Bergelut untuk bertahan sebagai pekerja kilang sambilan selepas penutupan pertama pada Mac lalu, yang melumpuhkan ekonomi dan jutaan orang hilang pekerjaan, Damaso memutuskan untuk meninggalkan Manila.

Tanpa hala tuju, dia tiba di lapangan terbang itu bersama dua bekas rakan sekerjanya, Sabtu lalu, dan dijadualkan pulang ke rumahnya di selatan bandar Zamboanga, hari ini.

Kini, dia terkandas di terminal dengan staf berpakaian sut perlindungan diri mengendalikan penumpang yang terkandas.

"Kami kehabisan duit dan tak boleh tinggalkan lapangan terbang kerana tiada saudara di sini. Kami perlu tinggal di sini selama dua minggu hingga penerbangan dibenarkan kembali beroperasi," kata lelaki berusia 36 tahun itu.

Presiden Rodrigo Duterte dengan berat hati kembali menguatkuasakan arahan duduk di rumah dan tindakan lain susulan desakan kakitangan kesihatan yang memberi amaran negara itu belum menang menentang virus terbabit.

Jumlah kes di Filipina melepasi 100,000, lima kali ganda berbanding Jun apabila negara itu melonggarkan perintah berkurung antara terpanjang di dunia. 

Filipina kini melaporkan ribuan kes baharu setiap hari dengan sebanyak 6,352 kes baharu direkodkan hari ini. - AFP



Sumber : Perintah berkurung Filipina akibatkan ramai terkandas

Post a Comment

0 Comments