'Mengapa pemegang kad UNHCR di negara ini meningkat?'

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula kedudukan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini sebelum memutuskan tindakan susulan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata kajian dan pertimbangan sewajarnya berhubung tindakan lanjut itu akan diserahkan kepada Wisma Putra.

"Kedudukan mereka yang ada kad UNHCR ini sesuatu yang kita sendiri pun tidak faham kerana sepatutnya angka (pemegang kad) tidak berganjak atau kekal.

"Sebaliknya ia (pemegang kad UNHCR yang berada di Malaysia) terus meningkat," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) ketika mencelah membangkitkan keraguan fungsi UNHCR di Malaysia, sehingga menyaksikan kad pelarian dikeluarkan kepada deretan individu yang hadir ke pejabat suruhanjaya terbabit dekat Jalan Bellamy, di sini.

Kegusaran itu, katanya, mencetuskan keperluan untuk kerajaan menyiasat kewujudan UNHCR di Malaysia kerana sebarang pemberian kad pelarian harus mendapat kelulusan KDN, berbanding diberikan secara sewenang-wenangnya.

"Ada juga kad UNHCR dikeluarkan dari negara jiran, tetapi masih diperakui di Malaysia. Adakah ini turut dibenarkan?" katanya sekali gus mengundang dentuman meja dalam kalangan ahli dewan tanda setuju dengan persoalan berkenaan.

Menyentuh isu pendatang tanpa izin (PATI), Hamzah menolak dakwaan Malaysia ketika ini 'dibanjiri' hampir empat juga individu tanpa dokumen.

Sebaliknya, beliau menjangkakan sekitar 300,000 individu tanpa dokumen atau PATI masih menetap di Malaysia, hasil pemeriksaan dan pelbagai operasi semasa dijalankan.

"Operasi ketika COVID-19 menyaksikan ramai ditangkap dan diusir pulang ke negara asal mereka. Justeru kita jangkakan yang tiada dokumen sekarang hanya tinggal tidak sampai 300,000 pun. Oleh itu, masalah sosial tidak akan timbul lagi," katanya.



Sumber : 'Mengapa pemegang kad UNHCR di negara ini meningkat?'

Post a Comment

0 Comments