Thailand buka siasatan baharu ke atas waris Red Bull

BANGKOK: Peguam Negara Thailand hari ini mengarahkan siasatan baharu ke atas waris Red Bull kerana disyaki terbabit kejadian langgar lari yang menyebabkan kematian, susulan kemarahan orang ramai apabila pertuduhan ke atasnya digugurkan bulan lalu.

Vorayuth 'Boss' Yoovidhya didakwa atas tuduhan membunuh apabila Ferrari miliknya melanggar pegawai polis di kejiranan paling eksklusif di Bangkok, pada 2012.

Kes itu berlarutan beberapa tahun dan Vorayuth yang juga cucu pengasas bersama Red Bull, Chaleo Yoovidhya, dan seorang lagi waris keluarga itu melarikan diri dari Thailand, pada 2017.

Bulan lalu, polis dan pendakwa raya berkata, semua pertuduhan ke atas lelaki berusia 38 tahun itu digugurkan, termasuk memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian, memetik bukti baharu.

Situasi itu membangkitkan kemarahan orang ramai, selain tanda pagar #BoikotRedBull tular di Twitter apabila kes terbabit menggambarkan golongan jutawan seolah-olah 'kebal'.

Ia disusuli kenyataan janggal yang memperincikan kedudukan dan menafikan dikeluarkan lapan anggota klan Yoovidhya, keluarga kedua terkaya di Thailand menurut Forbes.

Susulan desakan berterusan, Pejabat Peguam Negara (AGO), Pejabat Perdana Menteri dan polis kini membuka semula siasatan bagi mengenal pasti punca pertuduhan itu digugurkan.

Ekoran kajian semula kes itu, AGO hari ini, mengarah polis menjalankan siasatan baharu ke atas kejadian dan dakwaan Vorayuth menggunakan dadah.

Menurut laporan polis, kokain ditemui dalam badan Vorayuth selepas kemalangan itu. 

Minggu lalu, Polis memaklumkan kepada jawatankuasa parlimen dia tidak didakwa atas kesalahan berkaitan dadah kerana doktor gigi Vorayuth menjelaskan ia diberikan ketika rawatan gigi . - AFP



Sumber : Thailand buka siasatan baharu ke atas waris Red Bull

Post a Comment

0 Comments