SPR harap 85 peratus pengundi keluar esok

SLIM RIVER: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim mencapai 85 peratus, Sabtu ini.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata pihaknya menjangkakan 70 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing, esok.

"Sebelum ini kita jangka 70 peratus keluar mengundi, cuma saya berharap ia meningkat mencapai 85 peratus.

"Keadaan di sini aman, tiada kesesakan lalu lintas, pengundi adalah masyarakat kampung dan Felda, jadi saya nampak lebih ramai keluar mengundi.

"Saya juga berharap keputusan dapat keluar awal tetapi bergantung kepada Pusat Daerah Mengundi (PDM) jika jam 9 malam sudah selesai dan berharap tiada kacau ganggu atau bantahan ketika itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persediaan pengundian di pusat pengiraan undi di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, hari ini.

Abdul Ghani berkata, sebanyak 12 pusat mengundi dengan 54 saluran sudah ditentukan di kawasan DUN Slim membabitkan 22,749 pengundi.

"Saya berharap pengundi mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan mengambil masa yang sesuai untuk keluar mengundi.

"Waktu mengundi dari 8 pagi sehingga 5.30 petang. Ada tambahan masa 30 minit untuk PRK dan ini sudah diwartakan kerana kebiasaannya sebelum ini waktu mengundi antara 8 hingga 5 petang, maka tidak perlu kita berpusu-pusu," katanya.



Sumber : SPR harap 85 peratus pengundi keluar esok

Post a Comment

0 Comments