Trump akan umum pembelian 150 juta kit ujian pantas COVID-19

WASHINGTON: Presiden Donald Trump akan mengumumkan perjanjian pembelian 150 juta kit ujian pantas COVID-19, serentak dengan cubaan kembali kepada kehidupan normal, menjelang Pilihan Raya Presiden pada November nanti.

Pembelian daripada Abbott Laboratories itu adalah sebahagian daripada perjanjian bernilai AS$750 juta (RM3.1 bilion) bersama syarikat berkenaan, kata seorang pentadbir kanan.

Ia dibuat sehari selepas Pengurusan Makanan dan Ubatan (FDA) meluluskan pembelian kit ujian pantas itu yang dihasilkan syarikat berpangkalan di Illinois, serta mampu menghasilkan keputusan dalam tempoh 15 minit.

"Ini adalah satu perkembangan yang membantu negara dibuka, membolehkan rakyat kembali bekerja dan pelajar mula bersekolah.

"Kami berbangga dapat bekerjasama dengan makmal Abbott bagi membolehkan pembelian ini dapat dibuat untuk membantu rakyat Amerika," kata pengarah komunikasi Rumah Putih, Alyssa Farah.

CNBC melaporkan, Trump akan bercakap mengenai perjanjian itu buat kali pertama pada Khamis, ketika menerima untuk dicalonkan semula oleh partinya sebagai presiden buat penggal kedua, pada malam kemuncak Konvensyen Republikan Kebangsaan.

Abbott bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen. - AFP



Sumber : Trump akan umum pembelian 150 juta kit ujian pantas COVID-19

Post a Comment

0 Comments