KUALA LUMPUR: Kecoh warganet apabila MK, iaitu anggota kumpulan hip-hop popular dari Sabah, K-Clique muncul sebagai penyeri dalam video muzik Peluang Kedua dendangan Nabila Razali.
Digilai remaja sejak muncul bersama kumpulan hip-hop itu, pembabitan MK sebagai hero dan rakan duet dalam klip video berkenaan mencetuskan polemik apakah wujud situasi di mana mereka saling menumpang populariti dalam kolaborasi itu.
Tidak kurang juga yang menganggap Nabila sengaja mengambil kesempatan atas populariti K-Clique dengan menampilkan MK dalam video berkenaan.
Mengulas perkara itu, MK berkata, baik dirinya mahupun Nabila, masing-masing ada kelompok peminat sendiri.
"Tujuan kerjasama itu adalah untuk menggabungkan genre dan dunia berbeza menjadi satu. Tidak ada istilah tumpang-menumpang.
"Alhamdulillah, sambutan peminat terhadap kerjasama ini memberangsangkan dan boleh dikatakan sukses.
"Saya banyak belajar dan timba pengalaman baharu daripada kolaborasi ini," katanya kepada BH Online.
MK berkata, peluang bekerja dengan Nabila juga dijadikan ruang mencabar kemampuan diri.
"Selama ini, saya jadi model atau berlakon dalam video muzik sendiri. Tapi kali ini, saya lakukannya untuk lagu orang lain.
"Ini pengalaman menyeronokkan. Berlakon bukan forte saya, namun, saya terbuka mencabar diri," katanya.
MK berkata, semua pihak yang terbabit dengan pembikinan klip video itu membantu dan membimbingnya beraksi dengan baik.
"Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada tenaga menjayakan video muzik berkenaan," katanya.
MK berkata, dia menerima lamaran Nabila kerana menyedari kekuatan lagu Peluang Kedua.
"Lagu itu ketika dipromosikan tanpa video muzik rasmi sudah diterima ramai, malah memacu momentun kerjaya Nabila. Lagu ini juga bererti kepada diri dan pengalaman hidup saya.
"Biarpun sedikit sahaja pembabitan saya dalam video muzik, ia tetap manis untuk dikenang," katanya.
Sumber : Tiada istilah 'menumpang' - MK
0 Comments