KUALA LUMPUR: Melihat kisah kegagalan rumah tangga ekoran kecurangan suami, pelakon, Syatilla Melvin, 29, percaya suaminya, Shaheizy Sam, 38, tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang diberikan.
Syatilla atau nama sebenarnya, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin itu berkata,
dia tidak takut suami digoda kerana yakin Sam tahu jaga batasan.
"Saya percaya Sam tidak akan berbuat demikian, bagaimanapun sebagai wanita saya tetap juga berfikir. Disebabkan itu, saya menceburi bidang perniagaan untuk mempunyai sumber kewangan stabil.
"Saya tak mahu hanya bergantung pada dunia lakonan kerana sedia tahu jangka masa seseorang pelakon bukanlah lama. Jadi, saya memerlukan simpanan sendiri demi kebaikan pada masa hadapan," katanya kepada BH Online.
Ia juga menjadi salah satu faktor ibu kepada dua cahaya mata, Sheriv Samheizy, 3, dan Sarima Samheizy, 2, itu sibuk mengembangkan perniagaannya.
Terbaharu, Syatilla akan tampil dengan produk jamu selepas perniagaan kosmetik, Kekasih by The Melvins mendapat sambutan yang luar biasa.
Kongsi Syatilla ketika hadir di Balai Berita, Bangsar baru-baru ini, dia akan tampil dengan produk jamu sekitar September depan.
"Saya mengembangkan sayap perniagaan dengan tampil dengan produk baharu, jamu. Kenapa saya pilih jamu? Sebab saya mengamalkan pengambilan jamu sejak berusia 15 tahun, sama seperti adik beradik.
"Saya suka makan jamu kerana apabila mengamalkannya, rasa bertenaga dan merasakan perbezaan dari segi dalaman, apatah lagi selepas berkahwin dan memiliki cahaya mata.
"Saya tak pandai untuk menghasilkan produk seperti tudung dan baju, jadi saya pilih produk yang disukai. Jujurnya, jamu sangat membantu saya," katanya.
Pelakon kelahiran Parit Buntar, Perak itu berkata, penghasilan jamu juga bagi menggalakkan lebih ramai gadis mengamalkannya dari usia muda.
"Sebab ia untuk kebaikan jangka masa panjang, bukan masa pendek. Tengok wanita di Indonesia, ramai yang mengamalkan pemakanan jamu daripada usia muda untuk tampil awet muda.
"Ia bukan sahaja untuk awet muda, tetapi tenaga. Saya pula mempunyai dua cahaya mata yang sangat aktif, jadi perlu kekal bertenaga.
"Selain itu, boleh menjaga hubungan suami isteri. Apatah lagi, kita boleh lihat pelbagai permasalahan suami dan isteri, jadi jamu boleh membantu mengekalkan hubungan," katanya.
Sumber : Syatilla tak takut Sam digoda?
0 Comments